Thursday, April 30, 2015

Once

Santai. Jujur. Begitu lanskap indah yang terbayang-bayang dalam kotak minda aku.

Filem ini sungguh bersederhana. Tidak terlalu berlari. Dan tidak mementingkan jalan cerita. Disinilah kesinambungan dan realiti hidup yang mengalir pada ‘keintiman’ alur hubungan yang ‘tak terungkap’ antara dua watak utama ini.

Bagi yang mencari nilai-nilai ‘jiwang korea’, maaf, ini bukan filem untuk anda. Tapi jangan hampa. Kerana Romantisme yang dimainkan dalam filem ini sangat mendalam dan mencapai realisme hidup seharian.

Aku selalu menyukai filem yang dekat dengan perasaan yang kita rasai dalam hidup. Tak dibuat-buat, bukan fiksyen, malah itulah ‘rasa’ yang sama yang kita syahdui dari waktu kita bangun tidur hinggalah kembali berselimut dan bersunyi di tengah malam.

Antara inti-inti yang meluhuri filem ini sendiri ialah aduan atau campuran rasa ‘bersendiri’ dengan cipta indah lagu-lagu yang disenandung. Kedua-dua sebatian ini, iaitu sunyi dan muzik berjaya dijujuri dan diluhuri. Menambah syahdu, lirik-lirik lagu kesemuanya berjaya dihantar dengan situasi atau kata hati yang tepat dan dalam.
Dalam baris-baris rentak dan liriknya tersuntik rasa sunyi, hening,duka dan ria.

Dan, inilah titik penting yang paling aku kagumi dalam filem ini: Penamat cinta yang tak tersampai antara dua watak utama.

Aku benar benar selesa dengan penghantaran kisah romantisme ini yang banyak bersembunyi pada wajah ‘senyum’ mereka. Muka nampak steady, tapi hati. Filem ini tidakpun menunjuk apa yang dua watak utama ini rasai dalam hati mereka, tapi disinilah detik paling manis apabila pengarah berjaya menyingkap ‘wajah’ hati sebenar, sudah tentu, dengan penuh jujur dan damai.

Luahan rasa melalui muzik yang diungkap oleh mereka untuk cuba memahami ‘cinta’ sesama sendiri rupanya masih diselimut kekaburan dan syak wasangka, takut-takut masing-masing cuma bersyahdu sendiri. Dan, sekali lagi, ini juga dimainkan dengan penuh ‘senyum’ dan bersembunyi.

Sehinggalah babak akhir filem, aku masih tetap menyukai ‘cinta tak tersampai’ ini tanpa dipupuk rasa simpati. Malah mengejutkan, aku mampu berbisik sendiri, bahawa inilah suatu realiti kehidupan yang sentiasa berfalsafah tentang adanya pertemuan dan adanya perpisahan.

Masing-masing menanggung beban rindu yang tak berbalas, namun sedar, masih ada cinta pertama yang perlu dipertanggungjawabkan. Akhirnya, mereka kembali kepada kekasih asal. Tamat.

* Ditulis 28 Julai 2010

* Antara review filem terawal yang aku tulis. Biasa aku kurang minat tulisan lama, tapi yang ini punya kesan peribadi yang dalam.

Friday, April 24, 2015

The Straight Story (1999)

1. Alvin Straight : You don't think about getting old when you're young... you shouldn't.
Cyclist : Must be something good about gettin' old?
Alvin Straight : Well I can't imagine anything good about being blind and lame at the 
same time but, still at my age I've seen about all that life has to dish out. I know to separate the wheat from the chaff, and let the small stuff fall away.
Cyclist : So, uh, what's the worst part about being old, Alvin?
Alvin Straight : Well, the worst part of being old is rememberin' when you was young.

2. Pertama, aku suka road-movie film. Kedua, aku suka cerita orang tua. Sebab orang tua adalah orang yang paling bijak dalam membaca kehidupan. Kematangan mereka menjalani tragedi adalah sesuatu yang paling indah dan mengispirasi. Alvin Straight adalah orang tua yang berjiwa sederhana dan paling tepat untuk diangkat sebagai contoh terunggul seorang manusia.

3. Dengan jet atau kapal terbang, kita mampu berjalan dan mengembara ke sebelah dunia yang lain dalam masa sehari. Tapi apa nikmatnya perjalanan kalau terlalu sekejap sampai ke destinasi? Alvin Straight membuktikan, bahawa, dengan hanya mengembara menggunakan mesin pemotong rumput yang bergerak dengan kelajuan 8KM sehari, kita boleh mengalami suatu perjalanan yang paling indah yang melibatkan fizikal dan spritual.

4. Aku rasa Tuhan sendiri menikmati keindahan The Straigth Story. Kerana aku percaya, tujuan ia menciptakan manusia adalah semata untuk melihat bagaimana kita berhidup dan punya kesedaran tentang kehidupan itu sendiri. Alvin Straight adalah contoh terbaik bagaimana kita mewujudkan dan menikmati kesedaran sebegini. Kalau Tuhan ingin bersabda kepada manusia, maka tidaklah hairan jika ia mewajibkan setiap orang menonton filem ini. Tiada yang paling indah selain melihat akhir kehidupan manusia yang ingin berdamai setelah kemarahan, dendam dan dosa yang begitu lama.

5. Alvin Straight : Anger, vanity, you mix that together with liquor, you've got two brothers that haven't spoken in ten years. Ah, whatever it was that made me and Lyle so mad... don't matter anymore. I want to make peace, I want to sit with him, look up at the stars... like we used to do, so long ago.

6. Lyle Straight, Alvin's Brother : Did you ride that thing (mesin pemotong rumput) all the way out here to see me?
Alvin Straight : I did, Lyle.

7. Tuhan pasti bangga, sangat bangga. Alvin Straight barangkali adalah 
— salah satu  ciptaan terbaiknya.

8. Indah. Ini adalah kali kelima aku ulang perkataan ini.

Thursday, April 23, 2015

Stoker (2013)

Stoker bukanlah karya Park Chan Wook yang terbaik. Salah dia sendiri kerana terlalu kerap membikin karya yang berkaliti. Maka standard bagi peminat-peminat pengarah ini juga jadi lebih tinggi.

Tapi ini tidak bermakna Stoker adalah filem gagal. Park Chan Wook tak pernah dan tak akan pernah hilang sentuhan dinginnya. Kejahatan, kegelapan, dendam, erotik — kesemua ini tetap kekal dalam mutu ketukangannya. Tersendiri.

Stoker bagi aku sendiri sesuatu yang baru, menarik. Tapi menarik tak bermaksud memuaskan hati. Kebaharuan dan ketarikan yang ditimbul dengan sangat baik dari awal filem, dan kemudiannya subur dan memuncak, dan tiba-tiba, di akhirnya, timbul rasa kosong. Tak terisi. Kita mencari-mencari apa yang menyebab rasa kosong ini. Tapi entah, mungkin sebab kita sangat mengharap kepada fantasi kita yang gelap, tapi tak tercapai di akhir filem. Mungkin Park Chan Wook menghampakan fantasi (seksual) kita. Mungkin itu yang membuat kita kosong.