Friday, January 31, 2014

Neraka Apa Ini?


Bahana "Bercinta Selepas Nikah".

Cinta bukan untuk diislamikkan. Bukan untuk diagamakan.




Tuesday, January 28, 2014

Catatan 18 April 2013

Aku mula lelap sekitar 5 pagi. Dan tersedar pukul 2 petang. Kesan mengantuk terlalu tebal, maka aku menambahkan satu lagi anak bantal; untuk lebih selesa menyandarkan kepala, supaya posisi baring tidak terlalu rendah.

Kembali menyambung lena.

Kali berikutnya aku terjaga, jam sudah menunjukkan angka 3:30 petang. Aku cuba mengingat-ingat tempoh waktu tidur - kebiasaan yang rutin aku lakukan jika pertama kali bangkit.

Lapan, sembilan... sepuluh jam setengah. Memangnya, kali ini agak lama dari biasa.

Dalam duduk yang separuh baring, aku kalihkan mata yang masih berat, menyeluruhi segenap ruang bilik. Suasananya gelap dari biasa. Memang ada "langsir" yang membalut penuh kaca jendela, namun tetap kedapatan suram-suram cahaya petang yang menembus. Kali ini suramnya lain benar; terlalu gelap dan hiba. Seakan wujud pengaruh keremang-remangan waktu senja.

Aku singkapkan "langsir" dan membuka jendela. Dalam ruang yang terbatas di celah-celah bangunan flat yang bertingkat, aku cuba mendongak atas. Langit murung. Air menitik sedikit renyai-renyai. Angin dingin meniup dari celah-celah lorong.

'Hujan', desis aku.  

'Di hujung bulan April'.


Wednesday, January 22, 2014

"Islam Itu Sudah Syumul!"


Barangkali kepingan terakhir itu memang boleh jadi "seekor itik."

Tapi, kita dapat lihat bagaimana manusia itu memberdayakan penyatuan kepingan-kepingan yang berantakan itu dengan suatu kesukaran yang biasa disebut orang sebagai:

"Proses"

Proses untuk mencapai tujuan atau sesuatu hasil itulah yang kita katakan sebagai "agama".

Sudahlah beretorik dengan Islam itu syumul.

Betapa ungkapan ungkapan demikian sudah banyak melahirkan ummat yang malas meneroka dan berawang awangan kehilangan dunia yang real.


Tuesday, January 21, 2014

Catatan 4 April 2013

Seminggu ini, kerap sekali ribut angin yang kencang dan menyeramkan. Di luar tingkap begitu jelas kesan pusaran angin yang kasar dan menerbangkan segala.

Tingkap yang terkunci meronta-ronta untuk dibuka; Pintu bilik entah berapa kali terbuka dan tertutup secara mendadak dan berdentum; Jendela kecil di dapur yang kerap berlaga-laga dengan dinding; kesemua ini lekas menciptakan kesan gelisah dan tidak tenteram.

Suasana cukup menyeramkan dan berkecamuk. Aku yang tersenyap tak terberdaya oleh keresahan, mula terkhayal-khayalkan hal-hal yang ngeri. Dan mati. Aku kini membayangkan dunia akhir waktu yang bakal musnah dan penuh kehuru-haraan.

Mati.

Kesemua isi dunia akan menjerit-jerit, memekik-mekik, sebelum ditimpa pusaran angin yang menghuru-harakan dan kemudiannya mati bergelimpangan. Aku termasuk di antara mereka yang mati. Aku melihat sekujur jasad aku di antara mereka-mereka yang mati itu. Dunia musnah oleh ribut dan pusaran angin dahsyat yang mematikan segala yang di atasnya. Angin yang pada mulanya sekadar meribut dan berpusar menghentam kaca-kaca tingkap, membuka pintu bilik dan menutupnya secara mendadak dan berdentum, juga angin yang menghentak-hentakkan jendela kecil di dapur dengan dindingnya, angin itulah yang akhirnya yang berpusar-pusaran dalam kengerian yang kasar dan ganas, mematikan segala yang berada di muka perut bumi.

Aku juga di antara mereka yang bergelimpangan mati itu.

Aku yang mati.

Dan akan menghadap Tuhan -Yang -Tidak -Terungkap - Namanya itu dalam keadaan sangat berdosa dan penuh tidak bersedia.

Mati.

Selamat Tinggal "Motivasi"

Saya ini bukanlah peminat "motivasi", terutama dunia motivasi Malaysia. Bagi saya, kesemua hal hal itu — ceramah, seminar, perkhemahan, buku-buku, kaunseling perhubungan, persediaan peperiksaan — cumalah pemberdayaan potensi manusia yang palsu dan tidak kekal. Motivasi adalah satu projek ilusi yang menciptakan identiti asing di atas sosok peribadi manusia yang dianggap tewas dan lesu.

Saya beranggapan motivasi tidak dapat mengungkapkan potensi sebenar yang ada pada sesuatu individu. Lantas, apakah sebenarnya yang paling berhak untuk menggantikannya?

Sikap keingintahuan, kecurigaan, dan keghairahan menciptakan persoalan.

Atau, boleh juga ditambah dari kesimpulan pembacaan yang terbaru: keinginan untuk berkasih sayang dan berbuat baik sebanyak-banyaknya terhadap dunia dan setiap yang wujud di sekitarnya.

Inilah, menurut saya, yang dapat "menyelamatkan" manusia dari kesia-siaan hidup yang sekadar pasrah menunggu mati dan menyelesaikan segala yang berantakan di alam "syurga."

Sedikit antitesis bunyinya. Barangkali terpercik kesan pengaruh ide "absurdisme"nya Albert Camus.

Monday, January 20, 2014

Sarkastik

"Jangan risaulah pilihan awak tu. Bila masuk bidang pengajian agama ni, insya Allah rezeki dijamin. Mudah dapat kerja"

Ehem.

Agamawan.

Rezeki dijamin.

Sound familiar?

Sunday, January 19, 2014

Manchester Totok

Aku kan penyokong Manchester United. Bila ada group penyokong Man u dari Malaysia, aku joinlah. Bila dah dua tiga bulan turut serta, peh, aku ingat bosan gila group gini. Semuanya satu kepala. Sudahlah tak ada analisis mendalam tentang taktikal ke, pemilihan pemain, falsafah bola, corak permainan, dll. Fanatik membabi buta tak payah cakaplah. 75 peratus menyokong tak tentu hala tak tahu akal punca. Bila orang buat kritikan, dikatanya hanya tahu mengutuk, peminat lalang, glory hunter, tak setia kepada pengurus bla bla bla..

Jadinya bergembiralah sesama kelompok mereka berbincang hal-hal yang enak dan sederhana. Ketika orang-orang di eropah sana giat mengulang kaji statistik dan mengintepretasikan apa yang biasa  orang anggap kebetulan, membaca variasi dan tipikal taktik menyerang atau bertahan, membahas pelbagai falsafah permainan, menyarankan kesinambungan pemain muda untuk masa depan, kita pulak di Malaysia masih syok sendiri berbincang hal-hal remeh temeh seperti stail rambut dan fesyen pemain, bot-bot baru, gosip-gosip liar kehidupan peribadi mereka, kereta baru, dah sain kontrak ke belum, gaji dapat berapa, dah buat anak sebelum kahwin dulu ke apa...

Bapak bosan!

Sekarang bila aku kenang-kenang kelesuan berwihdatul mazhab ini, barulah aku terfikir kebijaksanaan Yang Tertinggi menciptakan kepelbagaian pemikiran di atas muka bumi ini.

Dan bila memikirkan Manchester United yang kian bosan dan tidak menarik semenjak dua ini, aku ingat nak jugak bertukar mazhab menyokong kelab Bayern Munchen yang gagah perkasa tu.

Thursday, January 9, 2014

Cebisan Renungan Dari Muallaf.

Dalam kesemua filem-filem Yasmin Ahmad, "Muallaf" adalah filem yang paling dingin, damai dan sunyi. Temponya yang sederhana dan lembut ini penting untuk membawakan "mood" yang ingin diangkat oleh Yasmin, iaitu: "Kemaafan."

Scene yang paling indah, pada hemat saya, adalah ketika mana kedua-dua adik beradik, Ana dan Ani akan berpesan sesama sendiri untuk memaafkan dan melupakan setiap kesalahan orang lain sebelum mereka masuk tidur. Setiap malam. Dan, sedikit "ganjil" juga, mereka tidak lupa mengamalkan bacaan ayat Qursi dan doa sebelum masuk tidur.

 Kebiasaannyalah, di mata kebanyakan masyarakat kita, siapa saja yang akan menyangka si Ana dan Ani yang tidak islamik penampilan mereka , tidak pakai tudung, kerja di pub, bla bla bla...malah punya amalan dan kesedaran yang sebegini!

Saya tidak sedar betapa penting dan "besarnya" babak ini sehingga saya menontonnya kali kedua. Ini sedikit sebanyak mula mendera saya dan membuat saya tertanya-tanya: dalam dunia yang serba kompleks dan individual ini, masih ada lagikah yang sanggup merenung-renung perjalanan hidup sehariannya dan bahkan, memaafkan setiap kesalahan orang-orang sekelilingnya sebelum melelapkan mata?

Ataukah, yang lebih terbayang dan mendesak-desak di benak kita sebenarnya adalah nafsu dan keghairahan yang luar biasa untuk lebih membenci dan mencambah keinginan untuk membalas dendam?

Sukar untuk saya mewarasinya apalagi mengamalkan sendiri. Ego, dendam dan individualisme sukar dilenyapkan dalam roh zaman yang mementingkan persaingan dan kejayaan material. Namun, dari apa yang ingin dihidangkan Yasmin, sikap dan kesedaran "memaafkan kesalahan" ini sebenarnya lebih penting dan indah dari segala-galanya yang sekadar berlalu kosong ataupun kebencian dan dendam yang sering disembunyikan dalam selimut malam.
 
"It is in forgiving that we are forgiven"

Wednesday, January 8, 2014

Dari Ana Ke Gua.

Gua rasa macam malas nak menulis. Jadi kali ni gua nak print screen sajalah perkara perkara yang bermanfaat untuk dikongsi. Islamis macam gua tak berani sangat nak guna akal lebih lebih. Takut terjerumus dan tersesat  malah menyesatkan orang lain pulak. 


Tuesday, January 7, 2014

Cerita Bola Petang

"Siapakah yang melepaskan orang-orang barbar ke kota kami? Habis punah segala yang cantik dan penuh sopan!"

"Mereka jugakan manusia."

"Manusia perangai binatang! Bahasa kolot. Tak pandai tulis baca. Suka menyepak orang."

"Tapi.. tapi mereka manusia."

"Binatang berpakaian manusia! Hanya suka berpesta ria dengan permainan-permainan yang menyakitkan tubuh badan!"


*********

Sepurnama kemudian, kota itu hancur. Habis punah ranah segala isi dalamnya yang cantik dan penuh sopan. Dari jauh sudah terlihat debu-debu dan asap yang berkepul-kepulan.

Anehnya, kepulan asap itu seolah-olah tersusun-susun dengan keteraturannya yang luar biasa — semacam membentuk abjad-abjad yang mewujudkan satu perkataan yang jika dibaca akan berbunyi:

'Bangsat..'

Sunday, January 5, 2014

Pejalan Tengah Malam

Beberapa malam sebelumnya, sekitar pukul 2-3 pagi, aku bawa Muhsin keluar rumah. Kali pertama, dia takut takut sedikit.

Malam ini, aku ajak dia keluar lagi. Berjalan jalan sekitar Muallimeen. Bila jumpa sekor kucing, aku sengaja jarakkan diri sedikit dari Muhsin. Aku nak lihat bagaimana respon dia dengan kucing gelandangan lain.

Mula mula dia semacam takut takut nak menyorok, tapi bila melihat kucing tu berpaling, tiba tiba Muhsin ikut membuntutinya. Dan kucing tu perasan. Aku persiap diri untuk sergah kucing tu kalau kalau dia nak serang Muhsin. Melihat sasa tubuhnya, mudah untuk mengecam kucing ini sebagai abang kawasan. Bukan calang calang jantan. Anehnya, ia tiba tiba bersuara aneh —suara tersekat sekat yang manja. Kalau tak salah aku, maksud mengiaunya itu tanda ketertarikan dan ingin berkenalan. Muhsin perlahan lahan merapati kucing tu dan mencium cium hidungnya. Kedua duanya sudah mula berkawan!

Kebiasaan kucing kucing aku sebelum ni, ada jugak yang tertarik nak dekat. Bila baru saja nak menghidu hidu, pasti kucing aku yang tersalah paham dulu. Menegaklah bulu masing masing.

Aku ajak lagi Muhsin berjalan lebih jauh. Dan, lebih banyak kucing kucing gelandangan lain yang Muhsin ketemu. Menariknya, hampir kesemuanya merespon dengan baik salam perkenalan Muhsin. Ada dua tiga ekor malah dari jauh sudah merasa tertarik lansung melihat sosoknya yang putih, kecil, dan kurus itu. Mereka mengiau ngiau aneh seperti mengiaunya abang kawasan tadi.

Cuma ada seekor saja yang tidak sebulu dengan Muhsin. Ironinya, kucing itu berbulu hitam penuh. Sebuah pertentangan yang terlalu nyata, barangkali.

Hanya Muhsin saja yang tinggal. Ibu dan kakaknya hilang dicuri.

Isu Benz Dan Respon Awam.

Ada sedikit kecewa melihat individu yang mengedit video Benz Ali. Amat jelas tujuannya, bukan untuk mengemuka pandangan, tapi mengajak orang lain sama-sama menyerang dan melabel Benz Ali.

Pandangan peribadi saya, perbincangan Benz Ali tidak releven untuk tontonan ruang awam. Bukan kerana idenya yang tak boleh pakai, tetapi tujuan berbincang dan berhujah itu tidak selaras dengan tahap masyarakat kita yang masih ortodoks dan tak selesa dicabar keislamannya.

Dilihat secara yang lain, Benz Ali sebenarnya adalah sebuah cermin kepada islamis untuk lebih jujur melihat diri mereka sendiri —bahawa terkadang-kadang pantulan wajah keislaman mereka tidak sesempurna yang mereka sangka.

Benz juga terkenal dengan langgam-langgam yang bombastik dan menekan, dan sesiapa yang tergesa menilai, pasti menganggap ia sebagai sosok yang provokasi. Tetapi, saya percaya, rakan-rakan diskusinya, malah Benz sendiri, tidak semudah itu membelakangkan dogma yang sudah diterima. Benz secara aneh, melontarkan persoalan yang dikira tabu dan sengaja disembunyikan bawah lengan jubah. Maka bagi yang cermat menyaring, mereka akan menilai dan menghujahkannya dengan disiplin-disiplin yang lebih baru dan semasa. Bukankah dengan begitu daya intelektual lebih bernafas?


Saya mencadangkan supaya usah terkejut dengan hal yang sebegini. Sesiapa berhak melontarkan ide, dan kita sendiri tidak perlu menolak atau menerimanya terus. Bahkan, keanehan ide ini baru sekadar 'basa-basi' kepada pelbagai lagi perdebatan dan perbincangan teologi di seluruh dunia yang lebih kompleks. Sudah lama wacana intelek islam tersekat dari kesemasaan dan realiti dunia yang bersifat dengan kepelbagaian identiti. Islamis jangan lagi melihat dirinya sebagai sosok-agamawan yang eksklusif. Dengan sikap berlapang dada, tonjolkan kepada masyarakat moden dunia bahawa Islam sebagai pilihan jalan hidup yang universal dan membahagiakan.


Letaknya Islam bukanlah sekadar pada serinya wajah yang kuat bersujud
tetapi juga sebagai perlumbaan sesama agama dan manusia lain untuk mengerjakan kebaikan dan keharmonian kepada dunia.

Thursday, January 2, 2014

Forrest Gump



Forrest Gump secara mudahnya, adalah kisah tentang dua pilihan jalan yang berbeza.

Pertamanya, jika kita berfikir secara mudah, ringkas, dan tidak terlalu jauh, maka kita akan bahagia dan selamat hingga ke akhir cerita. Kita dengar dan patuh cakap kerajaan, orang tua, atau agamawan-agamawan dari jabatan agama, nasib yang baik dan pelbagai pingat kecemerlangan akan menghinggap batang tubuh kita.

Sebaliknya, kalau kita punya jiwa memberontak, kompleks, kecenderungan ke arah kekirian, sikap suka memprotes, dan anti-establish, maka dalam filem ini, kita akan dihidangkan kegelapan dan kekecewaan hidup di masa depan. Malah, paling kejam, kita akan diserang AIDS!

Maka, secara halus, 'Forrest Gump' membisik pesan kepada kita: taat dan wala'lah kepada pemimpin dan kerajaan. Jangan banyak tanya. Jangan banyak fikir. Kerajaan tahu yang baik buat kita.

Untuk tip menonton filem ini, jangan berfikir cara yang sebegini. 'Forrest Gump' secara jujurnya, masih sebuah biografi-fiksyen yang cemerlang. Ia seperti dongeng hero rakyat versi moden.

Kadang-kadang, dalam membuat pilihan hidup, berjujurlah sepenuhnya kepada diri dan tidak terlalu fikirkan 'the other'; biarpun ia tidak popular dan kolot di mata sekeliling. Hidup, di tangan orang tertentu, adalah sesuatu yang mudah. Tak perlu pun berfalsafah yang bagai!

Wednesday, January 1, 2014

Azam Tahun Ini..


Untuk lebih menggumuli buku yang pelbagai.
 

Dan, tidak akan membela kucing lagi.

Tahun lepas saja, sudah 8 ekor kucing yang aku jaga semua hilang dicuri.

Bapak terkilan.

Yen dan Montel.

Samad dan Said.

Yasmin. Ini paling sekejap aku bela; 15 hari saja.

 Cindy dan anak-anaknya; Muhsin dan Orked.