Wednesday, March 12, 2014

A Brand New Life

Jika di dalam "The Scent Of Green Papaya", saya sempat terhening oleh seyuman misteri si gadis Mui - ada yang menyifatkannya sebagai "seyuman buddha" - namun, untuk filem "A Brand New Life", ternyata senyuman menjadi terlalu mahal untuk seorang anak kecil yang sengaja ditinggalkan ayahnya sendiri di penempatan rumah anak yatim.

Jinhee memiliki senyuman yang indah. Berbasikal bersama ayahnya di suatu malam yang sunyi, melalui lorong-lorong yang redup dan samar, Jinhee menyandarkan kepalanya ke tubuh ayahnya yang sedang mengayuh. Kesemuanya menghening secara senyap dan rahsia. Membuatkan masa di sekitar Jinhee terhenti, dan membentuk semacam kenangan yang abadi.

Malangnya, apa yang akan terjadi seterusnya hanyalah siri-siri kesengsaraan dan kepalsuan, dan itulah yang sering terlihat di mata Jinhee. Tiada lagi senyuman yang benar. Atau gelak tawa yang asli. Ya, benar, segalanya yang terhidang dari filem ini akan lebih memerahkan kucuran air mata, tetapi ini bukanlah sebuah melodrama murahan.

Kerana kesunyian, pengkhianatan, dan pengharapan terlalu sering dipermain-main. Apa lagi ini mungkin dapat dimengerti oleh anak kecil yang "terbiar" ini.

Apakah sememangnya Jinhee benar-benar terbiar dan terpinggir? Atau hanya kerana ia masih tidak bersedia menghadapi kebenaran yang terlalu menyeksakan jiwanya? Apakah "kehidupan baru" hanyalah sekadar jenama yang terlihat "indah" untuk beberapa kumpulan anak yatim yang menunggu masa sebelum diambil keluarga lain sebagai anak angkat?

Sebuah adaptasi cemerlang dari pengalaman hidup sebenar si pengarah.


No comments: