Tuesday, June 26, 2012

MILYANG

Puan Lee dan anaknya kembali ke Milyang, tempat asal suaminya, yang baru meninggal dunia disebabkan kemalangan kereta.
Sebelum meninggal, suaminya selalu menyatakan hasratnya ingin kembali ke Milyang. Puan Lee, terdorong untuk menyempurnakan keinginan suaminya, berkuputusan meninggalkan Seoul dan berpindah, menjalani kehidupan baru yang lebih tenang di Milyang.

Hidupnya terlihat sederhana, walau sedikit kesulitan mendepani masyarakat sekeliling yang beragam dan bertipikal manusia pekan kecil (yang berfikiran sederhana). Keadaan mula genting dan kacau ketika suatu hari anaknya diculik, dan dia diugut untuk menyerahkan sejumlah wang. Oleh ketidakmampuannya memenuhi hasrat penculik, anaknya dibunuh kejam, dan lebih mengejutkan, si pembunuh adalah guru tadika anaknya sendiri.

Selepas kematian anaknya, Puan Lee teraba-raba mencari 'sesuatu' untuk mengisi kekosongan dan kesepian hidup. Oleh ajakan seorang teman, Puan Lee mula terpikat mengunjungi gereja, dan disana, ia mula mendekati tuhan. Persekitaran dan suasana barunya — kehidupan beragama— barangkali terlalu 'mendadak', dan cepat pula mengubah dan menyejuk hatinya untuk cuba mengampuni si pembunuh anaknya. Dia memujuk hatinya, bahawa inilah jalan yang 'sebenar' untuk memperoleh kedamaian jiwa.

Puan Lee kemudiannya ke penjara, berbual-bual bersama si pembunuh, menceritakan kehidupan beragamanya, cinta barunya kepada tuhan, seterusnya dengan tenang memaafkan kesalahan si pembunuh. Selesai bicara, Puan Lee sudah pun mula meresap setiap zarah kedamaian di sekitarnya, sebelum si pembunuh, dengan wajah yang 'bersih', menceritakan kisah cinta barunya yang mirip Puan Lee.

Si pembunuh — dengan keyakinan dan kesedaran yang tinggi — menyatakan tuhan juga telah mengampuninya, menjadikannya kini bersih dan tanpa dosa. Puan Lee terdiam. Kedamaian yang teresap mula mengalir keluar. Dalam diam-diam, dia mula keliru, meragui 'cinta' tuhannya.

Baru saja beberapa langkah menapak keluar dari bangunan penjara, Puan Lee terjatuh dan pengsan. Bermula dari itu, kekacauan dan kekeliruan batinnya mengembang. Puan Lee mula tertanya-tanya, bagaimana tuhan, dengan sebegitu mudah 'memaafkan' si pembunuh dahulu sebelum dirinya sendiri. Apakah tuhan sedang mempermainkan dia?

Beberapa kejadian selepas itu menggambarkan 'cabaran-cabaran' yang dikemukan Puan Lee kepada penganut setia agama kristian secara senyap dan sembunyi, sebagai tanda pemberontakannya kepada tuhan — itupun jika tuhan wujud menurut perkiraannya.

Kemuncak pemberontakan, ialah bilamana Puan Lee,yang semakin hilang warasnya, mula menggoda si pendeta —wakil tuhan— yang mengenal baiknya untuk berzina dengannya. Hampir saja ia mendongok ke langit, memulakan pengisytiharan kemenangannya dengan tuhan, sebelum si pendeta yang hampir tewas tiba-tiba menarik diri, membetulkan seluarnya, dan menggeleng-geleng kepala tanda penyesalan; si pendeta beralasan tuhan sedang memerhati setiap gerak-gerinya.

Oleh 'kekalahan' yang mengejut itu, Puan Lee semakin tak keruan. Dia mengelar pergelangan tangannya sendiri dan meracau-racau di tengah pekan Milyang dengan pakaian berlumuran darah. Dunia Puan Lee kemudiannya di pusat rawatan sakit mental.

Selesai pemulihan, Puan Lee kembali ke pekan Milyang, dan bertekad untuk memotong rambutnya, melambangkan keinginannya untuk memulakan kehidupan baru. Sesampai di salon, Puan Lee tersentak mendapati si tukang gunting ialah anak kepada si pembunuh. Terasa yang, sekali lagi ia ditewaskan oleh 'takdir' tuhan, Puan Lee bangkit dengan marah dan bergegas keluar dari salon.

Kembali ke rumah, Puan Lee mengambil gunting dan cermin, dan mula menggunting rambutnya, 'sendirian'...

Jumaat
27 April 2012