Saturday, March 28, 2015

Keindahan

Keindahan yang real hampir sukar dikesani melainkan dari bayangan dan pantulan. Seperti langit atau pelangi yang indah, yang kita hanya sedar melalui bayangannya dari air yang bertakung. Seperti keindahan tragedi dalam hidup yang hanya terpantul melalui seni, buku, filem dan muzik.

Wednesday, March 25, 2015

All The Wild Horses

Makan

Bila tengah makan, kita perlu makan. Bukan pikir, bukan sembang, bukan layan tv. Makan adalah tanda kehidupan. Kalau kita tak menikmati saat kita makan, maka kita kehilangan asas sebagai manusia. Nikmatilah makan secara yang benar.

Tuesday, March 24, 2015

Faith

Maka hari ini aku beriman, bahawa kebaikan wujud di mana-mana dan ada pada setiap diri manusia. 

Maka hari ini aku beriman, bahawa mempercayai luasnya praktis kebaikan adalah bentuk kebersamaan sosial yang paling agung dan tak terbatas.


(Kebaikan sebenarnya meluas dan melata di dunia kita. Tapi kebaikan tidak ada nilai pasaran. Kebaikan tidak sepopular berita politik, perang, jenayah, rogol dan hal-hal pembodohan.)

Friday, March 20, 2015

Akhir Musim Luruh

Minimalist

Tiga cara menambah kualiti hidup:

1- Sikitkan barang.

2- Perlahankan hidup.

3- Lupakan masa depan.

Wednesday, March 18, 2015

Puty Hill - Nota Terjemah

* Dengan cara yang jarang-jarang dilihat, "Putty Hill" memperkatakan segala yang dapat diceritakan dalam beberapa hari kehidupan watak-watak filem ini dengan memperlihatkan tidak terlalu banyak. Dengan kehidupan yang tampak sia-sia, maka kematian menjadi sesuatu yang tidak bererti.

Filem ini mengambil latar pinggir bandar Baltimore, menyaksikan kematian seorang lelaki muda, Cory akibat overdose. Kita tidak akan bertemunya, meskipun kita dapat lihat potretnya di majlis memperingati si mati. Potret itu sendiri tidak menceritakan apa-apa kepada kita. Keluarga dan rakan-rakannya berkumpul di majlis itu, dan kita menemui mereka dalam momen-momen yang tidak berstruktur yang menceritakan kepada kita tentang diri mereka sendiri tetapi sedikit saja tentang si Cory.

Kebenaran yang menyakitkan, tiada siapa yang mengenal rapat si Cory. Sedikit saja wujud rasa simpati dan sayang, bahkan dari kekasihnya sendiri yang terlihat senyap.

* Putty Hill tidak bermaksud untuk menyingkapi kemiskinan, tidak mensensasikan atau memerah keluar situasi buruk mereka dengan harapan untuk menciptakan drama yang memberikan impak. Filem ini nyata dan realistik.

Ini bukanlah sebuah filem yang cuba untuk mengejutkan penonton dengan realisme yang melampau-lampau tentang "bagaimanakah kehidupan berjalan pada sisi yang lain" daripada garis-garis kemiskinan; ianya bukanlah tentang dadah, keganasan atau kekotoran.

Sebaliknya, Putty Hills adalah sebuah filem yang menunjukkan sekumpulan manusia yang menjalani kehidupan sebagaimana yang biasa mereka lalui berdasarkan pengetahuan sedia ada. Benar, sesetengah perkara terlihat gelap, sesetengahnya tampak cekal, juga sedih... tetapi di sisi lain mereka juga manusia, seperti yang lain, dengan kemampuan untuk berkasih sayang dan saling memahami.

Putty Hills adalah contoh terbaik yang dapat kita lihat untuk sebuah hasil seni menunjukkan kehidupan sebenar kelas pekerja dengan penuh realisme sekaligus penuh rasa hormat. Ianya bukan tentang moral, atau politik, juga bukan ingin menyentakkan. Pada lensa kamera, apa yang kita lihat ialah "kehidupan", dengan segala ketidaksempurnaan, masalah-masalah, dan kecantikan yang terjaga.


* Untuk memulakan perbandingan dengan Winter Bone: Persamaan kedua-duanya yang non-literal. Saya mengamati pemandangan manusianya, rumah mereka, cara mereka menjalani kehidupan secara umum. Perbezaan ketara dengan Winter Bone adalah tiada apa yang benar-benar berlaku di dalam Putty Hill.

Kita menyaksikan siri-siri perbualan yang tak bermakna, dimulakan dengan "How are you", "good", dan sebagainya, tetapi berakhir tidak lama selepas itu dengan tiada hal-hal yang penting untuk diingati. Saya menyedari pembukaan perbualan sedemikian sesuatu yang biasa, tetapi apa yang mengikuti selepas itu benar-benar kosong.


 * Filem ini tidak memberikan apa-apa fakta yang jelas tentang si mati, selain dari overdose. Hubungan dengan si penemubual juga tidak jelas. Selain dari fakta-fakta kecil yang menunjukkan mereka sebagai saudara atau rakan sekolah kepada si mati, ia tidak menyingkapi lansung tentang bagaimana mereka bersama-sama, dan samada mereka melihat apa-apa petunjuk yang menyebabkan si mati sengaja overdose. Kekurangan info ini memang tampak disengajakan, dan bertujuan untuk menjadi teras mesej: tiada siapa yang mengetahui punca sebenar kematian si mati.

* Kini saya mula jelas dan mengerti bahawa ianya adalah tentang atmosfera di sekeliling pengebumian yang mencetuskan ledakan emosi, dan bukan kerana sesetengah kawan baik yang meninggal.

* Pada asasnya, saya telah bersedia untuk mencintai filem ini. Saya tiada masalah dengan filem yang perlahan atau tiada plot dan saya sendiri menyukai beberapa filem art-house lain yang punya rating IMDB yang rendah.

Jadi di manakah dosa filem ini?

Akal manusia adalah mesin pencerita. Kita mengedit dan memotong kecil memori-memori demi menghasilkan cerita yang lebih memikat dari realiti sebenar yang terjadi. Cerita yang pada asalnya tidak begitu jelas tulen dan kebenaran sisinya, telah berubah menjadi sebuah *cerita yang lebih dramatik dan mengesankan* oleh ketentuan akal mereka sendiri.

Masalah yang timbul dari Putty Hill adalah kerana ia terlalu terdesak untuk mengelakkan "Cerita" hingga ia benar-benar telah keluar lansung dari jalan dan malah mengelak (huruf kecil-c) "cerita". Ini menjadikan filem ini tidak realistik, dan memanipulasikan demi mengelak pengkisahan.

Berdasarkan rating IMDB, saya fikir ramai penonton-penonton lain yang menyukai unsur-unsur art-house, tetapi mempunyai masalah yang sama, walaupun mereka tidak boleh menunjukkan dengan tepat apa yang sebenarnya telah hilang.

Kelihatan filem ini akan kekal menjadi kegemaran sebilangan penonton yang pintar, tetapi masih tetap tidak memuaskan bagi majoriti besar, sesiapa saja, yang meminta sekurang-kurangnya "cerita" kecil dari sebuah filem yang berupa alami  dan natural.

* Scene kegemaran saya adalah ketika beberapa gadis yang sedang bersantai di dalam rumah. Mereka mempunyai terlalu banyak masa di tangan mereka dan berbual-bual secara perlahan sesama mereka tentang hal-hal yang tidak penting atau jelas sambil berehat di atas tilam yang usang.


Tuesday, March 17, 2015

Aku yang Lost In Translation

Sehari suntuk berjalan hari dari Dumyat ke Kaherah dan ke Dumyat, aku rasa macam watak dalam Lost in Translation. Hanya aku, seorang diri, yang tercampak di tengah tengah lautan orang Mesir. Kau bayang kamera yang berpusing-pusing keliling aku dengan kerumunan manusia besar di tengah kota Ramsis dengan segala macam kenderaan dan papan iklan. (Menonton Fight Club membuat aku benci dengan papan iklan)

Kalau Scarlet Johansen yang sedang keasingan di tengah-tengah metropolitan Tokyo yang amat canggih dan bersih, maka aku pula sedang menderita dan pening mabuk dengan debu asap, peel-peel arab dan deretan bangunan kuning yang sendat dan usang. Kalau Scarlet Johansen hampir-hampir kehilangan hubungan dengan manusia di tempat asing, maka aku sedikit bertuah, sekurang-kurangnya, masih dapat sembang sikit-sikit dengan beberapa orang Mesir sepanjang perjalanan.

Tapi, hanyut di tengah-tengah kerumunan orang arab sebenarnya lebih tenang dari melihat bersepahnya manusia berwajah asia di Hayyu Sabi'e. Sebab aku dah terlalu berlama di Dumyat, maka menjadi minoriti kecil di tengah pekan kecil buat kita rasa satu perasaan istimewa.

Juga sebab sudah bertahun-tahun di sini, aku dah sampai tahap jadi malas nak gaduh dengan arab yang kaki kelentong. Senior ke junior, kalau dah Mesir memang Mesir, tetap juga kena tipu. Aku sedar sangat kena kelentong dengan penjual coklat atas bas, tapi aku mengalah saja. Bodoh memanglah bodoh, tapi aku hanya boleh pikir lantak kaulah, sebab memang negara islam biasa perangai mundur sebeginipun. Konon nak revolusi, tapi perangai tak revolusi sekali.

Pengajaran yang aku dapat dari perjalanan – jangan lagi pernah terpikir untuk pergi hari ke Kaherah. Juga, jangan pernah pikir untuk bernostalgia dengan Kaherah. Aku benci kota ini.

Friday, March 13, 2015

Adrift In Tokyo: Berjalan dan Bergurau Senda dengan Tragedi

Takemura terkenang waktu ia kecil dulu, ketika ayahnya pernah berjanji, ia akan membawa Takemura bersama-sama menaiki roller coster. Janji itu tak pernah kesampaian, kerana ayahnya telah pun lari dari rumah sebelum pada itu.

" If I rode with my dad," keluh Takemura, "would I be different?"

Sambil menghembus asap rokok di beranda bilik hotel, Takemura terus mengenang-ngenang nasib malang dirinya yang sering berhutang dan tak pernah dipeduli orang.

Setiap manusia memang ada pengalaman sebegini. Kita suka membelek kisah-kisah lama tentang pengalaman atau pilihan-pilihan hidup yang kita lalui, samada besar atau kecil, sengaja atau tidak. Kita bertanya-tanya jika kita memilih atau mengalami itu dan bukan ini, mungkin kita sudah berbeza sekarang. Mungkin kita lebih bahagia. Mungkin. Asalkan kita tidak sesengsara sekarang.

'Adrift In Tokyo' sebenarnya sarat dengan tragedi. Suami bunuh isteri. Anak ditinggal ibu bapa. Pelajar kolej yang sudah masuk tahun ke lapan pengajian. Pulak tu berhutang.

Tapi, jika tragedi-tragedi ini dibayangkan secara bersahaja, santai dan penuh jenaka-jenaka yang tenang (atau aneh), apakah masih menghairankan kalau kita kata bahawa hidup sememangnya terlalu indah?


Wednesday, March 11, 2015

Nota Ringkas Upstream Color.

Kita adalah The Sampler. Kita adalah penonton, pengamat, pemerhati, dan penikmat tragedi di dalam cerita (filem). Kita dahagakan tragedi guna untuk memuaskan kehendak dalaman kita. Kerana tragedi sering mengilham kita sebagai penikmat cerita. Tapi sejauh mana kehendak ini akan membawa kita? Adakah kita mendapat kepuasan nyata? Apakah tragedi-tragedi ini mampu membawa kita mengubah diri dan pandangan alam kita terhadap kehidupan?

Kerana itu Upstream Color cuba memberontak. Karekter-karektar fiksyen ini sudah letih diperhati dan diamati. Mereka sedar yang kita masih tidak akan kemana-mana jika sekadar berterusan menjadi penonton. Mereka ingin memecah kitaran ini. Mereka ingin menghancurkan kebiasaan kita yang sia-sia ini (menurut mereka).

Apakah pemberontakan watak-watak fiksyen ini berjaya? Apakah mereka mampu menampar kita dan meyedarkan kita dari lamunan yang panjang? Entah. Mungkin akhirnya kita akan terus bingung dan terus tidak sedar dan tidak paham. Mungkin kita akan tetap terus dahaga, dahaga, dan dahaga akan cerita dan tragedi.

Upstream Color boleh dikatakan sebagai suatu pengalaman sinema yang baru. Seraya membuat kita terkeliru oleh pembaharuan ini; kita tidak jelas samada ianya menyenangkan atau sebenarnya lebih merunsingkan. Upstream Color memangnya sebuah pengalaman fiksi yang akan terus menghantui penontonnya. Membuat kita rasa berdosa dan tidak bahagia kerana ketidakmampuan kita memahami.

Tambahan:


Salah satu dosa terbesar Upstream Color adalah kerana ia hampir-hampir tak menawarkan cerita pada tontonan pertama. Filem ini dengan disengajakan  mungkin satu bentuk keangkuhan? untuk ditonton kali ke dua. Bagi aku, pengelakan cerita ini suatu yang tidak sihat dan kurang mesra. Ya, filem yang baik sentiasa menawarkan sisi baru (imej, simbol, detil-detil kecil atau rahsia yang tersembunyi) pada tontonan seterusnya, tapi Upstream Color memperlakukan sebaliknya, iaitu dengan menawarkan rasa sinematik yang berkilau-kilauan dahulu dan kemudiannya baru datang cerita.

Tapi aku akui, untuk tontonan kedua, filem ini sebenarnya sangat-sangat luar biasa. Menghilangkan lansung rasa benci dan resah disebabkan kekaburan yang disengajakan demi mengusik intelek penonton. (Sebab tu aku rasa filem ini angkuh. Seolah-olah macam satu cabaran kepada khalayak: mari kita tengok sehebat mana kau, kalau dapat mencerna filem aku atau tidak). Dan sejujurnya, aku terpaksa menggagahkan diri dan meruntuhkan keegoan untuk menontonnya sekali lagi. Tiada yang lebih hina selain menyerah diri sepenuhnya ke tangan pengkarya.

Dan pada rasa peribadi aku, teknik fast edit shot ini juga sesuatu yang sangat aku benci. Lebih kurang dengan The Tree of Life oleh Terrence Malick. Aku sentiasa peminat Terrence Malick, tapi gaya shot yang ini memang bukan citarasa peribadi. Temponya terlalu cepat, tebal (sebab terlalu banyak syot untuk satu scene) dan terlalu dekat dengan subjek. Posisi subjek meliar-liar, tidak statik. Malah latarnya juga tidak stabil, cepat berubah-ubah, lantas menyekat lansung binaan imaginasi kita terhadap naratif dan sekaligus mengakibatkan penceritaan yang kabur.

Monday, March 2, 2015

Terbaik dari Langit

Terbaik dari Langit, kata orang, agak longgar. Cerita tak dijalin kemas. Disebabkan aku baca review sebegini sebelum aku tonton TDL, maka rasa ini yang aku bawa sepanjang tontonan. Dan ini sangat seksa, sebab aku juga seorang yang sentimental dengan tipe filem melayu yang, biasa diucap dengan klise macam dialog dalam filem ini, "different".

Dan, dengan perasaan pertentangan yang sangat mengelirukan, aku jadi kabur nak menilai TDL secara adil. Memangnya TDL macam roller-coster; ada momen turun-naik, naratif longgar, terlalu melebihkan teknik sinematografi dan mengabaikan "cerita". Sama seperti Kil, Nik Amir Mustapha dengan TDL-nya masih membuat kita rasa kekosongan dan kehilangan. Senang cakap, cerita tak kuat, kurang mengesankan. Sama seperti 'filem dalam filem' ini yang kabur dan tak didedah penuh. Ini amat disayangkan, kerana teknik 'karya dalam karya' jika dibikin dengan jelas, akan memberi dimensi yang lebih luas dan terang ( atau mungkin penjelasan yang sengaja ingin lebih memusingkan jika dalam tone yang gelap). 

Namun tetap ada hal-hal yang indah dari filem ini. Jenakanya segar. Dialognya menangkap dan berciri tempatan, tidaklah nampak baku dan haiper. Juga ada banyak quote-quote menarik yang boleh dipegang.

Dari role kredit akhir cerita, aku syak karya ini hasil buah idea ramai orang. Terlalu ramai yang masuk campur dalam memberi idea sehingga ia hilang titik asal, hilang sentuhan peribadi. Sebuah karya seni jarang dibikin secara kolektif. Karya seni, walaupun dengan tujuan 'untuk masyarakat', mesti datang dari keperibadian pengkaryanya sendiri. 

Walaubagaimanapun, aku tetap optimis dengan kuasa filem ini dalam menyedarkan ramai orang tentang mutu sinema. Mungkin kutuk filem melayu sudah jadi mainstream sekarang ni, maka bila muncul filem yang 'different', orang jadi cepat sentimental. Muncul la komen-komen yang filem ini berat, lain dari yang lain, kalau tak dapat tangkap itu tanda otak slow, otak Razak Moheiden, otak Ahmad Idham, etc. Walaupun mungkin nampak angkuh, tapi, biasalah bila kita berada di tingkat pemula. Bagusnya, kesedaran apresiasi seni itu mula timbul dengan filem ini. Sebab, filem ini tidaklah berat pun. Memang tujuan bikinan dia murni untuk mencapai khalayak awam seramai yang mungkin. Ia masih merai nilai komersial tempatan. Dan ia juga bermaksud mengkritik kebodohan yang biasa dalam sinema kita. Memang inilah pun orang awam yang kritis (baca:di tingkat pemula) mahukan. 

Meski betapa agung pun kuasa sinema dari pengkarya luar negara yang kita  sanjung, pada akhirnya, kita tetap sayang sinema tempatan. Kita cepat sentimental, sebab ianya sebahagian darah daging kita. Ada rasa 'the sense of belonging' yang kuat. Memang begitulah tabie manusia berjalan sentiasa dekat dengan keasabiahan.