Monday, July 14, 2014

Dunia Mimpi Akira Kurosawa


Ketika Akira menjelaskan Dreams (1990) adalah himpunan siri-siri mimpi dari pengalaman peribadinya yang panjang, saya tidak mempercayainya seluruhnya. Dreams, serasa saya, masih tidak mewakili "dunia mimpi" secara yang benar. Ia masih terlalu optimistik —  lebih hampir kepada pengharapan yang sedar.

Pengalaman mimpi adalah suatu pengalaman surrealis, tak berdasar, dan tak bersempadan. Mulanya hampir tak jelas, dan seisi perjalanannya mencapah dan menerawang tanpa logika, dan tiada pengakhiran yang dapat diteka apalagi mampu dituju secara sedar. Dreams tidak memiliki ini sepenuhnya. Atau, barangkali ini memang disengajakan? — kerana mungkin ia menginginkan ceritanya lebih berarah, terancang, dan tidak menyesatkan.

Maka, Dreams secara nyata, adalah tentang mimpi manusia sebagai sebuah impian; impian kedamaian; impian untuk mencapai tujuan akhir; impian memiliki alam sekitar yang nyaman, yang terpelihara dari arus kemodenan. Inilah "mimpi-mimpi" Akira — suara harapannya sendiri. Dan, harapan peribadi inilah yang ingin ia serapkan dalam dunia mimpi yang kacau dan melampaui batas logika.

Juga, sesalan-sesalan yang tidak pernah dapat diselesaikan dalam dunia kita yang nyata.


Saturday, July 12, 2014

Last Train Home

Qin, hampir mencecah 18 tahun, memberontak dan memaki-maki lansung dihadapan ibu, bapa, nenek dan adiknya. Dia letih dengan kehidupannya, terutama ketika mengingatkan dirinya sendiri, dibesar di kampung tanpa ibu bapanya yang berkerja di Guangzhou, hampir 2000KM jauh jaraknya.

Sekali ini, dia memerli hasrat ibunya yang ingin berhenti dari kerja dan menjaga mereka di kampung. Ayahnya yang sudah berang dengan sikap Qin, lansung terus memukul dan menampar anaknya bertalu-talu.

Qin tidak sekadar berdiam, ia cuba menolak ayahnya, dan terjadi sedikit pergelutan. Juga caci-maki. Qin sempat menghadap kamera, dan mulai membentak:

" Kalian benar-benar mahu merakam diri aku?? Inilah diri aku yang sebenar! Apa lagi yang kalian mahu!?"

"Last Train Home", sebuah dokumentari sekitar realiti kehidupan sebuah keluarga di tengah-tengah hambatan kuasa ekonomi yang menggila di Negara China.


Wednesday, July 2, 2014

Wings of Desire (1987)



Setelah lama menjadi pemerhati senyap di wilayah Berlin, Damiel, sang malaikat, mula terjatuh hati dan berkeinginan untuk menjadi manusia. Ia ingin menyentuh dan merasai secawan kopi. Ia ingin mengenali dan membezakan warna-warna yang pelbagai. Juga merasakan sensasi kesakitan dan darah pekat yang mengalir keluar dari tubuh. Malah, lebih jauh, Damiel mula menyintai kejutan dan ketidakpastian.

Damiel nyata sudah jemu dengan keabadian. Dan doa.

Keghairahan dan keinginan ini masih belum cukup ketertarikannya, jika tidak kerana dorongan Damiel yang paling besar, iaitulah dirinya sendiri, seorang malaikat, yang sudah terjatuh hati dengan seorang wanita biasa - tapi penuh dengan monolog yang misteri - ahli akrobat di sebuah sarkis kecil yang kurang mendapat sambutan.

Setiap manusia adalah cerminan dari lintasan-lintasan perbualan dan perdebatan sengit di dalam wilayah minda mereka sendiri. Seorang ibu yang sedang gering bersalin; si suami yang meragui kesetiaan isteri; pemuda yang nekad untuk terjun bangunan dan membunuh diri; atau boleh saja seorang tua yang menganggap dirinya sebagai sang pencerita, yang begitu yakin, jika ceritanya didedahkan nanti, lansung akan membawa pesan-pesan keamanan ke seluruh dunia ketika perang dingin sedang hangat berlansung.

Kesemua lintasan dan bisikan ini memanglah didengar dan direnungi para malaikat di daerah Berlin. Namun, semakin didengar suara-suara yang pelbagai, semakin para malaikat ini tidak mengerti tabi'e seorang manusia - manusia Berlin khususnya ketika pergeseran idelogi antara blog kapitalis dan sosialis sedang rancak membahang. Maka adalah di antara mereka yang cuba menjadi pemujuk, pembisik pesan-pesan kebaikan, ada yang ingin menyelamatkan si pemuda yang cuba membunuh diri, juga si Damiel sendiri, yang risau melihat gadis idamannya yang sedang bergayut tinggi di buaian sarkis tanpa bantuan alat keselamatan.

Membuat kita lebih bertanya-tanya, apakah manusia memangnya sejenis makhluk yang begitu absurd dan kompleks? Atau, malaikat-malaikat itu sendiri, yang sedemikian "sederhana" dan "mudah" cara pandang alamnya - tentu sekali kerana kesucian dan kepatuhan mereka - hingga begitu sulit - malah terkadang murung - demi memahami seorang manusia?

Jika tidak, masakan seorang Damiel begitu teruja dan terdesak untuk merasakan hidup sebagai seorang manusia biasa?