Thursday, April 30, 2015

Once

Santai. Jujur. Begitu lanskap indah yang terbayang-bayang dalam kotak minda aku.

Filem ini sungguh bersederhana. Tidak terlalu berlari. Dan tidak mementingkan jalan cerita. Disinilah kesinambungan dan realiti hidup yang mengalir pada ‘keintiman’ alur hubungan yang ‘tak terungkap’ antara dua watak utama ini.

Bagi yang mencari nilai-nilai ‘jiwang korea’, maaf, ini bukan filem untuk anda. Tapi jangan hampa. Kerana Romantisme yang dimainkan dalam filem ini sangat mendalam dan mencapai realisme hidup seharian.

Aku selalu menyukai filem yang dekat dengan perasaan yang kita rasai dalam hidup. Tak dibuat-buat, bukan fiksyen, malah itulah ‘rasa’ yang sama yang kita syahdui dari waktu kita bangun tidur hinggalah kembali berselimut dan bersunyi di tengah malam.

Antara inti-inti yang meluhuri filem ini sendiri ialah aduan atau campuran rasa ‘bersendiri’ dengan cipta indah lagu-lagu yang disenandung. Kedua-dua sebatian ini, iaitu sunyi dan muzik berjaya dijujuri dan diluhuri. Menambah syahdu, lirik-lirik lagu kesemuanya berjaya dihantar dengan situasi atau kata hati yang tepat dan dalam.
Dalam baris-baris rentak dan liriknya tersuntik rasa sunyi, hening,duka dan ria.

Dan, inilah titik penting yang paling aku kagumi dalam filem ini: Penamat cinta yang tak tersampai antara dua watak utama.

Aku benar benar selesa dengan penghantaran kisah romantisme ini yang banyak bersembunyi pada wajah ‘senyum’ mereka. Muka nampak steady, tapi hati. Filem ini tidakpun menunjuk apa yang dua watak utama ini rasai dalam hati mereka, tapi disinilah detik paling manis apabila pengarah berjaya menyingkap ‘wajah’ hati sebenar, sudah tentu, dengan penuh jujur dan damai.

Luahan rasa melalui muzik yang diungkap oleh mereka untuk cuba memahami ‘cinta’ sesama sendiri rupanya masih diselimut kekaburan dan syak wasangka, takut-takut masing-masing cuma bersyahdu sendiri. Dan, sekali lagi, ini juga dimainkan dengan penuh ‘senyum’ dan bersembunyi.

Sehinggalah babak akhir filem, aku masih tetap menyukai ‘cinta tak tersampai’ ini tanpa dipupuk rasa simpati. Malah mengejutkan, aku mampu berbisik sendiri, bahawa inilah suatu realiti kehidupan yang sentiasa berfalsafah tentang adanya pertemuan dan adanya perpisahan.

Masing-masing menanggung beban rindu yang tak berbalas, namun sedar, masih ada cinta pertama yang perlu dipertanggungjawabkan. Akhirnya, mereka kembali kepada kekasih asal. Tamat.

* Ditulis 28 Julai 2010

* Antara review filem terawal yang aku tulis. Biasa aku kurang minat tulisan lama, tapi yang ini punya kesan peribadi yang dalam.

Friday, April 24, 2015

The Straight Story (1999)

1. Alvin Straight : You don't think about getting old when you're young... you shouldn't.
Cyclist : Must be something good about gettin' old?
Alvin Straight : Well I can't imagine anything good about being blind and lame at the 
same time but, still at my age I've seen about all that life has to dish out. I know to separate the wheat from the chaff, and let the small stuff fall away.
Cyclist : So, uh, what's the worst part about being old, Alvin?
Alvin Straight : Well, the worst part of being old is rememberin' when you was young.

2. Pertama, aku suka road-movie film. Kedua, aku suka cerita orang tua. Sebab orang tua adalah orang yang paling bijak dalam membaca kehidupan. Kematangan mereka menjalani tragedi adalah sesuatu yang paling indah dan mengispirasi. Alvin Straight adalah orang tua yang berjiwa sederhana dan paling tepat untuk diangkat sebagai contoh terunggul seorang manusia.

3. Dengan jet atau kapal terbang, kita mampu berjalan dan mengembara ke sebelah dunia yang lain dalam masa sehari. Tapi apa nikmatnya perjalanan kalau terlalu sekejap sampai ke destinasi? Alvin Straight membuktikan, bahawa, dengan hanya mengembara menggunakan mesin pemotong rumput yang bergerak dengan kelajuan 8KM sehari, kita boleh mengalami suatu perjalanan yang paling indah yang melibatkan fizikal dan spritual.

4. Aku rasa Tuhan sendiri menikmati keindahan The Straigth Story. Kerana aku percaya, tujuan ia menciptakan manusia adalah semata untuk melihat bagaimana kita berhidup dan punya kesedaran tentang kehidupan itu sendiri. Alvin Straight adalah contoh terbaik bagaimana kita mewujudkan dan menikmati kesedaran sebegini. Kalau Tuhan ingin bersabda kepada manusia, maka tidaklah hairan jika ia mewajibkan setiap orang menonton filem ini. Tiada yang paling indah selain melihat akhir kehidupan manusia yang ingin berdamai setelah kemarahan, dendam dan dosa yang begitu lama.

5. Alvin Straight : Anger, vanity, you mix that together with liquor, you've got two brothers that haven't spoken in ten years. Ah, whatever it was that made me and Lyle so mad... don't matter anymore. I want to make peace, I want to sit with him, look up at the stars... like we used to do, so long ago.

6. Lyle Straight, Alvin's Brother : Did you ride that thing (mesin pemotong rumput) all the way out here to see me?
Alvin Straight : I did, Lyle.

7. Tuhan pasti bangga, sangat bangga. Alvin Straight barangkali adalah 
— salah satu  ciptaan terbaiknya.

8. Indah. Ini adalah kali kelima aku ulang perkataan ini.

Thursday, April 23, 2015

Stoker (2013)

Stoker bukanlah karya Park Chan Wook yang terbaik. Salah dia sendiri kerana terlalu kerap membikin karya yang berkaliti. Maka standard bagi peminat-peminat pengarah ini juga jadi lebih tinggi.

Tapi ini tidak bermakna Stoker adalah filem gagal. Park Chan Wook tak pernah dan tak akan pernah hilang sentuhan dinginnya. Kejahatan, kegelapan, dendam, erotik — kesemua ini tetap kekal dalam mutu ketukangannya. Tersendiri.

Stoker bagi aku sendiri sesuatu yang baru, menarik. Tapi menarik tak bermaksud memuaskan hati. Kebaharuan dan ketarikan yang ditimbul dengan sangat baik dari awal filem, dan kemudiannya subur dan memuncak, dan tiba-tiba, di akhirnya, timbul rasa kosong. Tak terisi. Kita mencari-mencari apa yang menyebab rasa kosong ini. Tapi entah, mungkin sebab kita sangat mengharap kepada fantasi kita yang gelap, tapi tak tercapai di akhir filem. Mungkin Park Chan Wook menghampakan fantasi (seksual) kita. Mungkin itu yang membuat kita kosong.

Tuesday, April 14, 2015

Realiti

Aku tonton filem. Banyak filem. Aku suka tentang kehidupan, tentang kesedaran manusia dalam menanggapi nilainya. Walaupun karektar-karektar dalam filem tidak real, tidak nyata. Tapi aku sedar, aku dapat menikmati pelbagai cara hidup.

Selalu orang sekeliling berkata dengan angkuh dan yakin, yang kita tak paham realiti. Yang kita hanya orang luar yang terlepas dari sentuhan realiti sebenar. Terutama dari orang luar yang sekadar memerhati cara orang berhidup melalui pengantaraan filem. Tapi kadang-kadang, bila kita sendiri berada dalam realiti tersebut, kita lebih tidak sedar bagaimana kita menjalani hidup. Kita hilang keghairahan, sifat ingin tahu. Kita hilang sisi pandang hidup dari jarak dekat, seperti kita hilang arah dalam keramaian manusia.

Seorang seniman akan lebih tumpul jika ia tidak menjarakkan diri dari persekitaran dan keindahan yang ingin dirakam. Seorang penulis lebih waras ketika menulis tentang tanah airnya dari negara asing.

Filem adalah pantulan realiti, sebagaimana medium-medium seni yang lain. Dan pantulan, seperti yang aku percaya, adalah cara yang paling baik untuk kita merasa dan menikmati keindahan dari realiti yang mentah dan sulit dikesani.

Monday, April 13, 2015

Keindahan Mempercayai Kejaiban.

Ustazah Ramiza, antara pesannya yang masih aku ingat sebelum datang Mesir, kata dia, duduk di sana nanti jangan selalu lepas mulut. Apa yang kita cakap, benda itu la yang akan jadi nanti. Kalau kita asyik gurau-gurau nak kahwin sana, silap-silap memang itu yang akan jadi. Sebab Mesir tu bumi mustajab. Aku ingat betul pesan ni, sebab sikit sebanyak bunyinya menakutkan. Dan memang Ustazah target aku pun secara khusus, padahal yang berjumpa mintak nasihat ada dalam tujuh lapan orang.

Tahun ke tujuh selepas nasihat Ustazah Ramiza, selepas berkali-kali proses bentuk diri terjadi, berulang, dan berubah, aku kini lebih paham yang ianya sekadar mitos. Sebab kalau Mesir bumi anbiya' sebagai alasan, tak bermaksud sini tempat paling dekat atau paling didengar doanya oleh tuhan. Kalau tuhan bermaksud untuk mengkhususkan satu-satu tempat yang mustajab doanya, maka malanglah penghuni-penghuni bumi di tempat lain yang tak berkesempatan ke tempat yang sakral sebegini. Orang-orang Mesir pun, entah terlalu banyak sangat doanya tapi negara dan mentalitinya masih tak kemana juga. Pasang quran memanjang tapi kebersihan tak pernah terjaga.

 Pokoknya bukan doa (angan-angan) itu yang tertinggi, tapi idea dan tindakan. Tak bermaksud aku perkecil doa, sebab fitrah manusia sentiasa ada suara terdalam yang terus meminta-meminta dan berharap akan keajaiban. Berharap kepada siapa? Kuasa misteri. Biar atheis sekalipun, pasti ada suara kecil yang terus menagih harapan terhadap kuasa misteri yang di luar rasional ini.

Sebenarnya pun, aku tetap memberi hormat kepada Ustazah Ramiza kalau sekalipun ia memegang tanggapan ini secara bulat-bulat. Mempercayai dan berharap dengan sesuatu keajaiban, walaupun tampak kurang rasional, adalah satu bentuk keimanan, sekurang-kurangnya menurut Tarkovsky. Tiada yang paling indah dalam hidup manusia selain mempercayai dan terus berharap kepada miracle.

Friday, April 10, 2015

I Saw The Devil

"I Saw The Devil" sudah terlambat untuk menjadi filem kegemaran aku. Kalau aku tidak biasa dengan filem-filem thriller dari Korea, maka tak ada sebab untuk aku tak jatuh cinta dengannya. Tapi aku dah letih dengan kejar-kejar, bunuh-bunuh dan balas dendam sebegini. Ia tak lagi baru. Dan aku tak berminat lagi nak memahami kekejaman seorang manusia pembunuh.

Kalaupun ada yang menarik, iaitulah kejayaan filem ini menimbulkan kekejaman dan kesadisan kita (penonton) yang mendasar dan tersembunyi. Kita benci akan manusia psycopath yang sadis, suka menyeksa dan membunuh mangsanya tanpa perasaan hingga kita tak sanggup melihatnya. Tapi dalam masa yang sama, kita membenarkan watak utama memperlaku pembunuh bersiri ini selumat-lumatnya. Kita suka dan seronok melihat ia dibelasah, dikerat, dan dihentam di kepala sampai hancur. Kita berharap agar si pembunuh yang hampir lunyai kepalanya itu masih bernafas supaya ia terus disiksa oleh watak utama. Kita tidak mahu si pembunuh ini menyerah diri kepada polis sebelum sempat ditangkap hero. Bila kepala si pembunuh dipenggal, kita merasa terlalu lega dan puas hati.

Nah, dalam tidak sedar, kita juga punya sifat sadis dan kejam seperti seorang pembunuh. Begitulah perangkap syaitan. Syaitan yang sanggup mengorbankan dirinya agar ia berjaya menimbulkan kejahatan kita yang tersembunyi. Syaitan yang menghinggap dalam diri pembunuh, dan telah berpindah ke dalam diri kita (penonton) selepas ia mati.

Persoalan yang timbul, adakah kita sedar tentang kejahatan ini? Adakah kita nampak syaitan yang sedang bersorak-sorakan dalam diri kita sendiri?


Thursday, April 9, 2015

Catatan September 2014

*Sesi baru di Damietta. Sesi yang lebih sunyi. Ya, kita tak perlukan muka-muka melayu yang ramai.

*Kebenaran tak bermakna dalam hidup seharian. Hidup kita hanya dengan makan, bersosial, dan beremosi. Dan tidur.

*Gelak sinis ke diri sendiri sebab terlalu mudah jadi pemaaf setelah dipujuk masa.

*Yang paling berharga dalam kehidupan manusia adalah kenangan. Lagi berharga jika engkau sedar menghargai kenangan itu juga satu kenangan.


*Selamat tinggal kekata. Aku kesunyi.

*Apa samanya aku dan hujan? Kami sama sama kesepian.

Syair Ibnu Arabi

Wednesday, April 8, 2015

Demi Lebih Bahagia.

Perlukah wujud filem bodoh? Sebenarnya ini bukan persoalan pun, sebab filem bodoh tetap wujud dan akan terus wujud. Sama seperti kebodohan yang meluas dalam kehidupan manusia. Yang patut dipersoalkan, adakah perlu kita menghalang orang dari menonton filem bodoh? Entah. Aku pikir, jika kita terlalu ghairah nak menghalang orang, apa bezanya kita dengan wahabi jenis yang menghuru-hara?

Mungkin, kebodohan itu perlu, demi untuk keamanan dunia. Dan, aku juga rela menjadi bodoh, demi untuk lebih bahagia.

9 Souls

"don't have a funeral
don't pray for me
don't tell anyone I died
don't look for my folks
don't cry for me
forget me
and ditch my ashes in the gutter."

Sunday, April 5, 2015

Babel

Aku selalu bercakap tentang tragedi, tapi tak bermaksud aku penggilanya. Aku suka dengan tragedi yang sederhana dan indah. Yang kecil dan tak sempurna.

Tapi, Babel — ia lain.

Babel adalah sebuah tragedi yang menghancurkan sisa-sisa harapan kita sebagai manusia. Babel membuat kita melihat takdir sebagai satu kejahatan yang paling asas dalam alam semesta. Ia membuat kita hiba, hilang arah. Dan kita betul-betul tak sanggup melihat karektar-karektar yang tak berdosa ini dipermainkan secukup-cukupnya oleh kuasa takdir. Dan,seperti Babel yang tidak selesai, begitu juga kita sebagai manusia. Menyerah diri kepada takdir adalah sekadar jawapan yang kita ada.