Monday, December 30, 2013

Sedang Membaca..


Seorang sosok yang kontroversi di Indonesia.

Membacanya setakat ini, terdapat kecenderungan Kang Jalal yang selektif dalam mentafsir atau melontar pandangan. Namun, banyak juga dari ide idenya yang menarik dan boleh diperluas.
 


Tidak lupa, ucapan Selamat Ulang Tahun Kelahiran. Semoga diberkati usia selalu.

Wednesday, December 25, 2013

Pasca PRU-13: Pandangan Peribadi

Pasca keputusan Pilihan Raya ke-13, saya mula terfikirkan pendekatan bersifat popular dan ekonomis saja tidak akan dapat menyedarkan kesuluruhan murbawan tentang kesedaran politik perubahan yang matang. Ada suatu fundamental yang tidak sihat, kabur, dan bersifat statik sudah mengakar kukuh di kedalaman jiwa mereka. Ada semacam keselesaan dan kegusaran untuk mempertahankan keselesaan itu dari sesuatu yang bersifat menceroboh dan menggugatnya.

Pertama-tamanya, tentu sekali berkaitan dengan kebangsaan dan perkauman. Ini tidak dapat dielakkan. Mana-mana majoriti bangsa Melayu akan mudah tersentuh bila dibayang-bayangkan tanahnya pada suatu hari nanti akan dirampas oleh entiti asing dan mereka bakal menjadi bangsa yang sekadar bergelandangan di bumi sendiri. Saya tidak menyalahkan mereka-mereka yang menjadi mangsa kepada propaganda ini. Saya suka meletakkan kesalahan ini kepada falsafah dasar pendidikan negara yang tidak mampu membenihkan rakyat-rakyat yang intelek, progresif, proaktif dan sentiasa kritis terhadap sesuatu isu, dasar, dan pemikiran kepada penyelesaian.

Saya tidak ingin lebih lanjut membicarakan isu perkauman, dari mana bermunculan fahaman ketaksuban ini, ejen-ejen yang menjadi penyuburannya, krisis identiti dan kegagalan melihat perbezaan secara yang sihat dan benar, peranan media massa, sikap pemimpin negara hingga ke akar umbi, atau keahlian dan dasar-dasar parti politik yang berteraskan bangsa.

Tindakan Pakatan Rakyat pasca PRU-13: Reaktif atau Proaktif?

Saya lebih berasa terpanggil untuk merenung, apakah sebenarnya yang perlu ditumpukan dan menjadi pemusatan Pakatan Rakyat untuk benar-benar mempengaruhi dan memperkukuh kedudukan dan kepercayaan mereka di mata murbawan keseluruhannya. Pendekatan siri-siri ceramah dan statistik atau manifesto ekonomi, juga pendedahan korupsi, ketirisan, penyalahgunaan wang, jentera, dan media massa yang bersifat popular dan sentiasa mendapat sambutan besar itu saya kira, masih tidak mencukupi dan menyeluruhi. Paling jauh, ia sekadar menyentuhi kelompok urban di kota-kota besar dan negeri-negeri maju.

Apakah tindakan Pakatan Rakyat pasca PRU-13? Adakah gerak kerja dan aktiviti kepolitikan mereka masih seputar dan berlegar-legar pada siri-siri ceramah, pendedahan skandal projek dan korup, dan siri-siri demonstrasi membantah apa-apa saja yang mereka tidak puas hati di jalan raya dan stadium? Apakah manifesto mereka masih berlingkaran dalam bulatan ekonomi popular dan kuasa pembelanjaan? Saya tidak mengecil-ngecilkan kesemua ini. Tidak, kesemua ini ada basisnya, wujud kekuatan dan keperluan kepadanya. Tapi ini saja masih tidak membatasi dan mewakili kesemua sisi murbawan yang berlainan taburan demografi, lingkungan persekitaran, latar pendidikan dan kelas-kelas sosial masing-masing.

Jika ingin berhujah bahawa murbawan bawahan terlalu kesulitan dengan status ekonomi negara yang tidak menentu, misalnya, dengan kenaikan harga barang-barang harian, harga minyak dan tol, yuran dan hutang pendidikan, ya ini memang membebankan, tapi cakap-cakap ini masih longgar dan mudah terlupakan jika disuguhkan keselesaan-keselesaan tertentu. Ketika kita mengeluh-ngeluh di kaunter super-market dengan skrin yang mencatatkan harga keseluruhan yang tidak releven, kita kemudiannya mula lupa kesemua hal tadi setelah masuk ke dalam kereta sederhana mewah yang berhawa dingin. Sampai di rumah, setelah mengasing-asing barang-barang yang dibeli, kita enak-enak pula bersantai di atas sofa tenggelam sambil menonton TV berskrin besar dan nipis yang beresolusi HD.

Memang wujud bebanan-bebanan tertentu yang perlu dipertanggungjawabkan pada kerajaan, namun tak mudah dinafikan bahawa mereka juga punya jasa dan peranan dalam menentukan keselesaan ekonomi sara-hidup kita. Berapa ramai, untuk lingkungan kondisi dan suasana masa kini yang punya pekerjaan yang mampu menyarakan mereka dengan sebuah rumah yang selesa di taman perumahan, dua-tiga buah kereta untuk suami dan isteri, juga dengan siri-siri perabot dan mesin-mesin yang berteknologi dan terkini?

Perlukah Revolusi yang radikal dan mendadak atas jenama politik kepartian?

Timbul isu ketidakpuashatian terhadap keputusan PRU-13 dari Pakatan Rakyat. Sesetengah pemimpin merasakan perlu melanjutkan momentum kemarahan dan bantahan ini dengan mengadakan siri-siri himpunan besar. Sesetengahnya lagi merasakan ketidakperluan ini; cukup saja  menerima kekalahan dengan dada yang terbuka. Masing-masing ada pendiriannya.

Bagi saya sendiri, keputusan PRU-13 ini secara basisnya, masih penterjemahan dari sikap dan pilihan politik rakyat Malaysia keseluruhannya. Kedua-dua komponen pakatan dan barisan masing-masing hanya berkelebihan kecil antara satu sama lain. Tidak banyak bezanya.

Dan, keputusan ini masih bertumpu kepada aspek politik yang bersifat popular dan perbincangan yang ringan dan segera. Tidak ada pandangan, diskusi, dan perdebatan yang bersifat menyeluruh kepada faktor pendidikan, kebudayaan, bahasa, perkembangan sosial, dan isu-isu marginal yang terpencil. Sikap kepartian, politik menyindir, penumpuan kepada aspek moral dan kekurangan lawan masih tetap menjadi bual-bual orang kebanyakan, kalau tidak pun dari segelintir pemimpin mereka sendiri. Orang politik masih tetap dilihat orang politik; Sikap dan tindak tanduknya bermotif keuntungan pada parti dan karier politiknya. Saya tidak menyalahkan kepimpinan sepenuhnya, tapi sikap dan kacamata orang bawahan masih tetap menilai politik sebagai entiti tunggal, tersendiri dan bersifat provokasi.

Dari hal inilah, saya mengandaikan, jika terjadi revolusi atau pertukaran kerajaan sekalipun, kesedaran politik baru masih tidak mencapai tahap memuaskan. Politik atas jenama kepartian, ceramah, himpunan dan demonstrasi yang bersifat anti-establishment dan sering memberontak harus dikendurkan, atau paling tidak, ditemukan dan didiskusikan secara bersemuka dan sihat.

Pendidikan sebagai langkah permulaan kepada Politik Baru.

Di sinilah peranan pendidikan, sekurang-sekurangnya menurut saya, perlu berada di tingkat yang teratas dalam dunia politik baru. Nilai-nilai demokrasi, kematangan dan keterbukaan hanya akan terlahirkan dari pendidikan yang mencorakkan ethical revolution, kesedaran kuasa memilih, dan pemahaman yang sebenar pada makna kebebasan berfikir, membuat dan mencabar keputusan.

Barisan Nasional perlu melenyapkan politik menakut-nakutkan, mengugut dan menyuruh rakyat mengenang jasa budi mereka. Pakatan Rakyat akan lebih terhormat jika...


[Artikel separa siap dan masih bergantungan semenjak Jun lalu.]



Selamat Hari Natal




Monday, December 23, 2013

Syita'

Malam yang tak terlalu dingin ini, saya sempat membaca dua buku.

Sebuah buku, 'Fikrah Pejuang', ditulis oleh Syeikh Zainul Asri. Saya membacanya di ruang tamu.

Sebuah lagi, memoir Kassim Ahmad 'Mencari Jalan Pulang Dari Sosialisme kepada Islam'.
Kali ini, saya menelaahnya di bawah lampu neon jalan berhadapan rumah.

Entah terlalu bersederhana, atau suasana membaca yang berbeza, saya lebih asyik dengan tulisan Kassim Ahmad yang lebih bernyawa dalam menuangkan pengalaman dan daya intelek sekaligus.

Fikrah Pejuang? Hah, aura 'baik' sajalah yang dapat saya capai.

Monday, December 16, 2013

Cerita Damiettian


Tak ada yang mengerti tingkah lakunya.

Di tengah keramaian yang sebegini heboh, hanya dia yang mengecil di satu sudut. Adalah juga yang bertanya, menunjukkan sikap prihatin. Dalam suasana begini, tidak akanlah dia teransang untuk meluah.

Selesai keramaian, dia tidak pulang ke rumah. Dia ke rumah seorang kawan, yang juga pemimpin persatuan di sini. Oleh suasana yang dingin, dan hening, dia memulakan pengaduannya dalam tangis yang senyap.

Akuinya, dia sunyi.

Beberapa malam yang lalu, dia tidak tentu arah. Tak tahan berseorangan di rumah, dia keluar secara spontan, dan mencari-cari rumah kawan-kawan pelajar Malaysia. Aneh, selepas dia mengetuk-ngetuk pintu rumah mereka, atau menekan loceng, kemudiannya terus dia lari tergesa-gesa tanpa menunggu sesiapa membuka pintu.Tidak tahu apa motifnya.

Juga, dua hari yang lalu, tanpa sebarang perancangan atau putusan, dia merayau-rayau seorang diri. Hinggalah sampai ke Raksul Barr. Dalam musim sejuk begini, jarang orang berminat ke sana. Sedang melilau-lilau, ternampaklah dia sebuah gerai tepi jalan yang menjual 'stokin itik'. Dia teringat seorang kenalannya yang mengidamkan stokin khas musim shita' ini. Dia kemudian membelinya.

Esoknya, dia ke rumah kenalannya itu. Senyap-senyap tanpa disedari kenalannya, dia menggantungkan plastik berisi stokin itu di muka pintu, dan terus saja berlalu.

Ada seorang lagi kenalannya; sudah tidak bersemangat lagi untuk lulus imtihan. Oleh rasa belas dan keprihatinannya, puas ia memujuk dan cuba menaikkan semangatnya untuk terus belajar. Bermacam-macamlah cara dan pertolongan; ternyata motivasi adalah sesuatu yang misteri.

Terasalah ia semakin sesia.

Dan sunyi.
  

Saturday, December 14, 2013

Kritikan


Terutama golongan islamis so-called haraki.

Aku tak paham, kenapa orang mudah terpikat dengan ayat retorika fantastika mereka ini. Paling jelas, ada satu jenis langgam penulisan yang, menurut pengalaman membaca aku, dicetuskan oleh CN Afghani, dan dikembangkan lagi oleh Dr Ridhuan Nor.

Aku tak ada contoh nak menjelaskan, kerana tak ada buku-buku mereka sekarang. Tapi langgam bahasa retorik-bombastik-berjuang-berjihad mereka ini semakin berkembang di kalangan islamis-islamis Malaysia. Banyaklah jelmaan-jelmaan langgam ini yang muncul, menulis 'bunga-bunga bahasa perjuangan' di status laman sosial, malah dibuaikan juga dalam liqo' usrah.

Membacanya, aku merasakan betapa orang awam akan tertunduk 'baik', mencuba - dengan dibuat-buat- menghayatinya, meresapinya dengan emosi palsu, atau paling jauh, berasa seperti di awang-awang keindahan berjuang.

Setelah indahnya buaian perasaan itu, kau tahu apa? Mereka jadi lemah berdepan realiti dunia. Tidak ada teks-teks yang dapat mereka rujuk untuk menyelesaikan masalah harian.

Pada akhirnya, orang akan tetap mencari makan dan minum untuk terus hidup.

Tuesday, December 10, 2013

Puisi Pertemuan Mahasiswa




Pada awal kemunculan, Rendra dikatakan pelopor dalam drama kontemporer. Kemunculannya ditunggu dan dipuja.

Dalam satu acara membaca sajak, terjadi kekacauan. Rendra dihalang dari membuat sebarang persembahan. Sejak itulah nama Rendra dikenal dengan kepenyairan yang memberontak dan melawan elitas kuasa.

Tak kurang yang mengkritik, sajak-sajak Rendra sudah kehilangan nilai estetika. Kata Rendra, ia tak peduli. Biarlah kenyaringan dan kelansungan sajak-sajaknya dapat membawa dan mengangkat tema sosial dan kebanyakan.

Maka, untuk sajak-sajak Rendra, pemaknaannya sangat jelas dan terang. Tak perlu diulas. Yang perlu, hanyalah untuk dibaca di tengah suasana himpunan-himpunan rakyat yang sedang gelora dan memberontak.

Orang-orang miskin di jalan
yang tinggal di dalam selokan
yang kalah di dalam pergulatan
yang diledak oleh impian
janganlah mereka ditinggalkan

Sunday, November 17, 2013

Catatan 13 Mac 2011

Saya tidak pasti di libari mana, tapi ketika itu saya sedang menaiki tangga. Dan, dia pula sedang menuruni tangga.

Ada silau mentari di belakangnya. Tak dapat saya tangkap penuh wajah gadis misteri itu. Tapi ada sesuatu dari sosoknya yang lansung memikat saya. Terutama pada beberapa buah buku yang sedang dipeluknya:

Daerah Zeni dan Hujan Pagi.

Kami berselisih. Dalam situasi yang sebegitu lekas, timbullah semacam desakan lansung dari jiwa untuk melontar tanya, sebelum ia lebih jauh lenyap menghilang di balik tangga. Antara waras dan tidak, dan juga kerana ketertarikan luar biasa saya pada kedua buah buku itu yang dimiliki oleh gadis yang unik pula cita rasanya, saya berpaling juga dan nekad menyapa,

" Err, buku tu, boleh...boleh saya pinjam lepas ni?"

Terhenti lansung langkah turun gadis misteri ini. Dia terpana sekejap, sebelum berpaling melemparkan senyuman termanis. Dalam tenang ia membalas,

" Awak sedang bermimpi."

Saya terkejut.

Melihat sekilas jam di tangan menunjuk angka 3 pagi.

 

Saturday, November 16, 2013

Catatan 11 Mac 2011

"Apakah sebenar-benarnya yang sedang bergema dalam diri kamu?" Langit hitam pekat. Ataukah, kaca tingkap bangunan YP ini yang sedia hitam?

"Nadi Umno"

"Maaf?"

"Eh, maksud saya...penulisan."

Di hadapannya kini seorang pensyarah wanita moden. Matanya bercelak biru. Kaca mata hitam tergantung di hujung dahi. Dan rambutnya perang terdedah. Menariknya, pensyarah ini adalah peminat orang muda.

"Jadi, kata kamu tadi, kamu tak berminat kursus ini?"

Sempat memandang sekilas Ustaz Faresyh, ia bersuara perlahan, "Saya...saya dipaksa datang."

Angin di luar bangunan menderu-deru. Saat ia menghempas tingkap kaca (memangnya ia sedia hitam?) itu, seakan wujud suara melolong yang mengerikan. Seperti pekikan syaitan. Tak lama kemudian, deraian hujan pula yang menghitamkan suasana temuduga kursus keusahawanan yang mulai terasa aneh.

"Baik. Jenis penulisan apakah yang menjadi kegemaran kamu?"

Ia menggerutu sejenak. Ah, barangkali ia tersilap langkah kerana terlalu berjujur. Tidakkah ini sangat janggal dan terasing? Ah perempuan ini; sememangnya penggemar orang muda! Sedikit lama ia mengatur kira, sebelum teragak membalas,

"Saya menyukai tema kemanusiaan... keanehan...  err, strange love.."

Ah, apa yang aku cakap ni! Sekali lagi ia tersedar, kejujurannnya adalah sebuah kebodohan.

" Baik. Saya berikan kamu sehelai kertas. Dan, sila tulis, apa yang sedang benar-benar bergema dan meraung di benak kamu. Tulislah, apa-apa sahaja. Saya berminat untuk membacanya."

" Saya.. saya tak rasa sekarang adalah suasana yang sesuai."

"Tak apa. Awak boleh keluar dari bilik ini dan duduk di mana saja yang buat awak rasa selesa untuk menulis. Saya akan tunggu hingga habis sesi temuduga yang lain."

Ia tak punya alasan lagi untuk terus berlama dalam bilik yang dingin dan seram itu. Sambil mengangkat punggung, ia tiba-tiba terkenangkan lintasan mimpinya di awal pagi jumaat itu.

Sebuah tsunami yang besar dan bergulung-gulung, sedang menghempas kapalnya di tengah lautan.

Belum lagi ia tahu, sesuatu yang lebih berkebetulan, nanti malamnya ia akan lebih terkejut melihat berita tentang tsunami besar yang meranap Jepun.

Friday, November 15, 2013

Catatan 6 Jun 2013

Malamnya, antara maghrib dan isya, bekalan api terputus seperti biasa. Dalam suasana yang gelap, di ruang tamu, terjadi sebuah perbualan 'sengit' yang sangat rahsia. Dan penuh perenungan.

(Isi perbualannya tidak didedahkan. Beberapa kali tersangkak dan terputus oleh diam, menjadikannya lebih dalam dan  mengesankan. Suara-suara hampir separuh berbisik, tapi lekas mencengkam dada. Tenang dan sesak.)

" Tapi," Suhaizan memutus "...aku tak menyesal."

Ada senyum yang sekilas di wajah Suhaizan, sebelum ia meneguk air teh dan melangkah masuk ke bilik.

Meninggalkan Marwan yang masih kegelapan.


Sunday, November 10, 2013

Napoleon Dynamite

Napoleon Dynamite ialah seorang pelajar sekolah menengah yang aneh, pelik, dikelilingi oleh rakan rakan yang juga aneh dan pelik.

Filem ini tidaklah hebat. Komedinya bukan komedi gelap, intelligent, dengan satira yang tajam dan sebagainya. Dan bukan juga jenaka bodoh, lucah dan stereotype. Tapi ini tak bermakna aku tak menyukainya.

Suasana menontonnya, aku membayangkan seperti ketika lepak-lepak di beranda tingkat tiga asrama, melangu kosong sambil memerhati ibu-bapa yang ingin mengambil anaknya untuk pulang ke rumah di petang Khamis (atau petang Jumaat untuk sekolah luar Kelantan). Ianya bosan, buang masa, tapi mengasyikkan.

Yang sering membuat aku terpikat dengan sesuatu filem adalah latar tempat. Aku percaya filem yang baik sentiasa menawarkan lanskap persekitaran dengan terang, menonjol dan 'penuh'. Di tangan pengarah, daerah Preston - tempat tinggal Napoleon, bahkan tempat asal pengarah filem ini sendiri - yang kecil dan tidak menarik ini berjaya diangkat dengan caranya yang itulah; kekampungan dan membosankan. Dengan bingkai kamera yang statik, juga pergerakan manusia yang perlahan, - bayang sajalah mata si Napoleon yang kuyu dan malas itu - memudahkan aku terbenam dalam satu rasa yang kekampungan dan inilah yang mengikat aku dengan cepat kepada penceritaan.

Aku membesar di Pekan, sebuah daerah yang usang dan tidak intelek. Barangkalilah, manusia-manusia di Pekan tidak seaneh manusia-manusia dalam 'Napoleon Dynamite'. Tapi aku tahu, zaman kecil aku dengan kawan-kawan dulu memang banyak buat perkara-perkara yang aneh, kolot dan kekampungan.

Monday, October 28, 2013

Akibat Terlebih Baca Novel-Novel Cinta Islamik.


Pewit!

Kasi bunga-bunga sikit..

Celup nama Tuhan sikit..

Kan mudah nak dapat bakal-bakal imam-makmum ku.


Pertama dan terakhir aku post benda-benda geli macam ni. Aku tak nak cara lansung pasal kawin. Benda mudah; kalau tak rasa nak kawin dalam masa terdekat, tak payah nak bising-bising. Tak usah sembang pasal member-member hantar kad timbun-timbun. Tak usah nak cerita orang keliling tanya bila kau nak kawin. Tak usah lansung, lansung... tulis perkataan K.A.H.W.I.N.

Jadi, tak adalah rasa gatal atau gedik nak kawin atau syok sendiri kekal bujang bila tengok member-member kawin.

Stay bujang macam budak kecik. Deh..?




Tuesday, October 22, 2013

Jika kau meluat, menyampah, loya,

dan rasa nak maki-maki orang-orang sekeliling kau

yang bermentaliti bengal, hamba material,

pencantas liberal, pembela melayu,

pencinta plastik bermodal redha tuhan.

maka, selamat menonton ini: Little Miss Sunshine

"Do what you love..

...and fuck the rest."



Saturday, October 19, 2013

Filem-filem Weerasethakul


Dua filem sudah aku selesai tonton dari pengarah yang sama; Apichatpong Weerasethakul.

Uncle Bonmee Who Can Recall His Pass Life merupakan sebuah filem hantu yang tenang dan sejuk. Jarang rasanya, filem-filem hantu yang digambarkan sebegini rupa. Mengisahkan tentang perjalanan hidup Uncle Bonemee yang hampir menuju kematian.

Gaya penceritaannya mengingatkan aku kepada suatu rasa yang damai dan selesa semasa menonton filem-filem animasi Miyazaki. Tidaklah ada persamaan yang menonjol dan ketara dari kedua-duanya. Miyazaki,pada filemnya, sentiasa mengenengahkan kesederhanaan cerita; tiada watak jahat, dengan dialog-dialog yang riang dan memujuk, juga pemaparan latar tempat yang terang dan bernostalgia.

Bagi Uncle Bonmee pula, yang membikin aku 'kedinginan' adalah kesan ceritanya. Dan, antara yang benar-benar menggoda aku adalah hantu-hantunya yang unik, malah boleh diajak bersembang.

Bersembang pula tentang 'syurga'.

Syndromes and a Century pula lebih mudah; sekitar kenangan-kenangan si pengarah yang sempat membesar di persekitaran hospital tempat emak dan ayahnya berkerja. Dipaparkan dua latar tempat yang berbeza - pertembungan kota dan desa - dengan inti cerita yang hampir sama.   

Dari kedua-duanya, dapat dibaca corak Weerasethakul menangani penceritaan dengan lembut dan mendatar. Tiada lansung unsur kekerasan watak, sikap atau kesan latar persekitaran. Di tangannya, setiap yang berjalan di atas dunia hanyalah kesederhanaan dan kedamaian. Manusia-manusianya percaya akan pembalasan hukum karma, dan tak sedikit yang menyesalkan 'kejahatan' lalu.

Barangkali, setelah penat dikejut oleh realisme yang keras dan menyentapkan dari filem-filem seperti The Treeless Mountain, Milyang, filem-filem Kim Ki Duk, Pepermint Candy, At The End of Daybreak dan sebagainya, maka kedua-dua filem Weerasethakul ini adalah pendingin suasana dan jiwa aku. Memberi suatu pengharapan dan daya hidup yang segar.

Timbul kesedaran baru dari aku, bahawa filem-filem art house tidaklah semestinya sebuah pemaparan realiti atau mimpi yang sulit, kompleks dan tak terhuraikan. Di sebaliknya, masih terdapat salji-salji kecil yang menenangkan dan berjatuhan indah atas taman-taman seni.

Demikianlah yang ingin diertikan oleh pengarah Thailand yang istimewa ini.



  

Thursday, October 10, 2013

Ali Zoua: Prince of the Streets


Sebuah pulau dengan dua matahari.


Itulah taman impian seorang gelandang kecil Moroko yang bercita-cita untuk menjadi pelayar. Namanya, 'Ali Zoua.'

Pertama kali aku tonton filem ini tahun 2009 dulu. Tentu sekali ketika itu aku masih budak dan hingus dalam membaca filem. Cuma, ada sesuatu yang lain dari filem ini, yang cepat mengingatkan aku kepada chanel Astro Kirana dan filem-filemnya. Astro Kirana tidak lama tempoh hayatnya. Namun filem-filem yang ditayang adalah di luar kebiasaan filem-filem komersial. Dan entah macam-mana, filem-filem ini lekas memikat aku. Sesuatu yang istimewa dan mengesankan.

Maka bermula dari filem Ali Zoua inilah, aku mula mencari apa yang mudah disebut sebagai 'kesan cerita' dari sesuatu filem yang berunsur realisme dan mengetengah kuasa visual lebih dari dialog. Bukanlah mahu terasa unik atau sombong dengan sengaja. Mulanya, adalah rasa itu. Namun lebih banyak aku tonton pelbagai genre filem, wujud nada respect terhadap genre yang lain selain 'art house' atau 'new wave film'.

Kuasa utama filem tentu sekali 'entertainment'. Baik filem-filem komersial atau indie, mereka berhak menawarkan gaya tersendiri. Dan para penonton juga berhak memilih untuk suka atau tidak dengan sesuatu filem itu, tapi bukan dengan mengeji dan merendah-rendah tanpa tentu arah.

Aku sangat berterima kasih kepada Ali Zoua, dengan pengenalannya kepada sebuah pengalaman yang kaya, rencam dan istimewa dari seni wayang.

Wednesday, October 9, 2013

Lemon Tree


Lemon Tree adalah sebuah hasil tangan seorang pengarah Israel, Eran Riklis. Filem propaganda? Bagi aku tidak. Adalah sedikit adegan-adegan kecil, tapi mungkin lebih untuk melihat sisi pandang watak. Kalau propaganda sekalipun, masih tetap dapat mengkayakan sudut pandang kita.

Dan, Eran Riklis, aku suka cara dia menawarkan tema yang tegang dan kompleks ini dengan santun, bermoral, dan berupaya menawarkan dua sisi budaya yang bertentangan dengan plot yang mudah dan terjalin kemas tentunya.

Tidaklah aneh, kerana filem ini based on true events.

Salma, seorang wanita Palestin separuh usia - yang masih jelita - sangat mencintai ladang lemonnya. Anak-anaknya sudah  mempunyai kehidupan lain. Suaminya lama mati. Ia wanita sunyi. Dan ladang kecil inilah yang meneduhi separuh bagian jiwanya.

Juga lolongan serigala.

Sehinggalah suatu ketika, seorang menteri pertahanan Israel baru saja berpidah rumah, dan kebetulan rumah barunya itu bersempadan dengan ladang Salma.

Menteri pertahanan.

Dan ladang lemon Salma yang rendang itu tentu sekali mencurigakannya.

Atas alasan keselamatan, Salma diberi surat perintah. Ladangnya akan ditebang.

Maka, bermulalah perjuangan Salma yang kecil, tua dan tidak penting itu melawan kuasawan Israel yang mega besar dan serba-serbi mewah.

Apakah filem ini semudah pandangan normal kita; bahawa Israel sentiasa jahat dan Palestin sering dianiaya?

Sekurang-kurangnya, dalam filem ini, wanita adalah 'si pemenang.'

Dan jus lemon sangat sedap dan memikat orang.

Empat dari lima bintang.

Saturday, September 14, 2013

Cerkas Pungguk

Tahukah kau, sungai telah terbakar?

Itu cerita semalam.



Kedua-dua pungguk itu terbang lesu.

Meninggalkan senja di belakang.

Tuesday, September 10, 2013

Pungguk Rindukan Bulan

Yen.

Januari - Ogos 13.

Sayu



Menonton trailer saja sudah terasa cengkamannya. 

Puas cari di internet. Masih tak jumpa.

Friday, September 6, 2013

Kenangan Desember



Tak dipungkiri, ayahku peminat besar Tetty Kadi.

Thursday, September 5, 2013

Buku-Buku Ini Sedang Bersedih.


"Soal tarik balik anugerah Sasterawan Negara itu sangat bapak alu-alukan. Teruskanlah.

"Malah kalau ingin tarik balik warga negara saya pun, saya alu-alukan”

Sometimes Love Is Beautiful



Aku suka ini.

Senyap dan membingungkan.

Friday, August 30, 2013

Evakuasi

Abang, abang tak balik?

Tak, sayang. Abang kekal sini. Berjihad.

Huu.. Sedih.

Jangan sedih sayang. Doakan abang thabat. Inilah jalan yang abang pilih.

Hmm baik, bang.

Juga, doakan semoga hubungan kita ini diredhai dan diberkati-Nya. Ada jodoh, abang kan melamar sayang, bila abang pulang nanti.

Insya Allah bang. Tak sabar nak tunggu bakal imam sayang ni. Sayang abang.

Baiklah sayang. Abang terpaksa undur diri. Hingga jumpa lagi.


Sekejap lepas tu, bergema satu bilik
'EA Sport.... To the game'


Friday, July 26, 2013

Selamat Hari Lahir

Salam Syahdu

Jauh segala kembara usia
Dan kini,
ketika malam
sangat berbintang
diri ternampak matang.

Kira-kirakan berapa
bintang berselerak
di langit gelap;
Akan terisi
lara dan ria
perih segala ibu bapa
anaknya. kini dewasa.

Salam pilu
usia yang lalu.

Salam syahdu
usia mu baru.

9 November 2010

Saturday, July 20, 2013

Yama-yo Yama-yo

Ada yang suka realisme.

Ada yang suka surrealisme.

Dan aku penggemar kedua-duanya sekali.

Bagaimana kesannya jika kedua-dua ini dicampur?

Aku kira 'The Taste of Tea' benar-benar memuas nafsu seniku.


Thursday, June 20, 2013

A Litre of Tears





Aku sentiasa skeptikal dengan cerita-cerita orang cacat. Pengalaman menonton filem-filem melayu tak sedikit buat aku lelah dengan latar muzik yang meleret-leret dan melodrama yang dilebih-lebihkan untuk memaksakan penonton-penontonnya berderaian air mata. Sukar menolak bayangan seorang kurang upaya yang berjalan payah terhenjut-henjut, mengejar sesuatu, kemudian terjatuh bergulingan di atas tanah. Sudahlah mulut dan mukanya terlekat pasir, diabaikan pula dan tidak dipeduli orang yang lalu lalang, dan mulalah berjejeran air matanya diiringi kemuncak orkestra yang mengeluarkan tenaga penghabisan yang tertinggi.


Ini termasuklah yang aku alami sepanjang suku pertama permulaan filem A Litre of Time; sebelum secara ganjilnya aku mula merasakan pengaruh yang lembut dan alami, sekaligus menolak bisikan-bisikan nakal yang merimaskan tontonan. Secara menyeluruh dan mengesankan, aku dihadapkan satu pengalaman hidup yang indah dan sulit, demi menyedari sesungguhnya, tujuan hidup manusia yang tertinggi ialah untuk mengispirasikan manusia lain. Filem ini mula kurasakan keistimewaan dan kejujurannya. Tersendiri dan mengispirasi.

Aya Kito, seperti gadis Jepun yang normal, menjalani rutin hidup yang bahagia sehinggalah ketika berumur 14 tahun, ia mula dikesan menghidap penyakit kelumpuhan secara perlahan dan akan membawa maut. Suatu pagi, ketika ia berjalan ke sekolah, Aya terjatuh dan mukanya terluka. Aneh kerana ia tidak menghadang kejatuhannya itu dengan tapak tangannya. Seperti ia membiarkan saja mukanya tersembam menyapu tanah tanpa ia berbuat apa-apa. Aya dibawa ke pusat rawatan; di situlah keluarganya mula menyedari penyakit ganjilnya itu.

Dan seterusnya, secara perlahan-perlahan, gerakan Aya mula kaku dan mengeras. Ia semakin sukar berjalan dan terpaksa melepaskan persekolahannya. Sesuatu yang sangat melukakannya. Perpisahan tidak dapat dielakkan. Suatu petang, Aya dan rakan-rakannya terpaksa saling mengucapkan perpisahan. Kemudian ia mengunjungi juga satu gerai kecil tempat ia selalu berehat dan bersantai-santai dengan pemilik gerai, seorang wanita tua yang optimis dan penuh daya hidup. Di sini, aura perpisahan yang memilu cuba ditukar dengan senyuman indah dan penuh postif, semacam memberikan pesan: kita bukan berpisah kerana derita kamu; kita berpisah kerana ia adalah sebahagian dari kehidupan.

Selanjutnya, keadaan menjadi lebih sukar; namun sangat memberansangkan. Aya sememangnya si pengumpul air mata, tetapi selepas jejeran tangisnya itu, akan ada kejutan-kejutan pilihan hidupnya, atau tindakannya yang menerima keadaan yang sulit, malah membalikkannya pula menjadi sesuatu yang penuh erti dan mengispirasikan manusia sekeliling.

Satu ketika, sempat ia berbisik payah kepada ibunya, ia sangat ingin mengerjakan sesuatu pekerjaan yang akan memberi khidmat kepada masyarakat, seperti layak ibunya sendiri. Aya menjadikan ibunya sebagai sumber kekuatan yang tertinggi. Dan kerana kekuatan itulah, ia ingin terus hidup.

Aku percaya mana-mana laki, sekental dan sesulit mana pun, pasti akan dibuat lunyai dan berantakan oleh filem ini; namun percayalah, kucuran-kucuran tangis ini bukanlah dalam bentuk simpati, melainkan sebuah rasa penghidupan yang membara dan memotivasikan.

Empat bintang!







Monday, June 17, 2013

Ahwak



Malamku kesuraman. Namun tak ada kesuraman yang lebih indah dari terhanyut jauh ke inti melodi klasik ini. Kesunyian yang menggantung suasana. Keredupan yang meneduh jiwa.


اهواك
I love you
واتمنى لو انساك
And I wish to forget you
وانسى روحي وياك
And forget my soul (myself )with you
وان ضاعت تبقى فداك لو تنساني
If it is lost then it is your redemption


وانساك
And I do forget you
واتريني بانسى جفاك
But I find out that I just forgot your staleness
واشتاق لعذابي معاك
And I miss my torture with you !
والقى دموعي فكراك ارجع تاني
I found my tears remembering you ..then I come back ..


في لقاك الدنيا تجيني
When I meet you ..the world come to me
ومعاك رضاها يبقى رضاك
With you its satisfaction turn to be your satisfaction
وساعتها يهون في هواك طول حرماني
And then , for your love ..I can handle my long Deprivation


الاقيك مشغول وشغلني بيك
I find you busy, and I am busy with you
وعنيا تيجي في عنيك
My eyes meet your eyes
وكلامهم يبقى عليك وانت تداري


They talk about you..& you hide
واراعيك واصحى من اليل اناديك
I take care of you ..and wake up in the middle of the night calling for you
وابعت روحي تصحيك
I send you my soul to wake you
قوم ياللي شغلني بيك جرب ناري
Wake up the one who owns my mind. Taste my fire

اهواك
I love you
واتمنى لو انساك
And I wish to forget you
وانسى روحي وياك
And forget my soul (myself )with you
وان ضاعت تبقى فداك لو تنساني
If it is lost then it is your redemption

Tuesday, June 11, 2013

Senarai Main Kekal Abadi



Sampai bila-bila, sampai ke hari tuaku, John Denver tetap ikon yang sempurna untuk sebuah kesederhanaan dan keredupan hidup.



Jika Justin Bubur ada 30 lagu paling hit pecah dunia, maka tak satu pun darinya yang dapat menyamai walau satu baris lagu Bee Gees tiga beradik ini. Baru satu ini, belum senarai lagi berpuluh-puluh lagi lagu mereka yang tak lapuk dikunyah waktu.

Oh ya, kumpulan nasyid perlu belajar seni vocal harmony dengan legend-legend ini. Jangan ada lagi yang menyanyi sekadar keluar nafas macam terlekat tulang.




Ya. Pak cik ini pendukung LGBT.




Kalau ada suara serak-serak kering yang paling indah dan menyentuh, maka Louis Amstrong ialah orangnya. Sambil menyanyi, sambil senyum lebar-lebar, sambil main saxaphone. Sejak kukecil lagi, ayah tak habis-habis ulang dengar lagu ini. Terkerlip rasa nostalgia jika mendengarnya.




Selesai lagu ini, mengucap balik.




Seorang gadis muda sedang mengemas kedai makannya sambil terhangguk-hangguk kepala mengikut rentak radionya yang terpasang kuat. Dalam diam-diam, matanya mengintai wajah manis seorang polis ronda yang sedang memesan makanan. Situasi ini bukan di California, melainkan ianya salah satu babak dalam filem 'Chunking Express'.



Friday, June 7, 2013

Al-Amin yang Istimewa

Mulanya, saya menjangkakan ini.




Tapi, yang saya dapat adalah ini!


Lihat koyakan kecil di bucunya. Tak apalah, barang rare!
Niat kukuh di hati, berazam untuk lebih menggumulinya secara yang paling akrab. Sehari-hari.

Semoga azam yang tidak basi.

Wednesday, May 22, 2013

Cerkas Malam Blackout


Malam semalam saya ke kedai basikal untuk mengganti tayar. Sedang leka menunggu giliran, tiba-tiba lampu kedai terpadam. Kedai-kedai dan jalan-jalan semuanya bergelap. Blackout. Untuk kali ke berapa sudah malam itu.

"Kenapa ya, terlalu kerap black out sekarang ni?" Sengaja saya pancing pekerja kedai itu.

"Sebab Mursi!" Jawaban yang dijangka.

"Atau tidak Mursi sebenarnya. Semuanya berpunca Ikhwan Muslimin." Tambah lelaki Mesir yang bermisai tebal dan badan gempal itu.

"Oh ya? apa salahnya Ikhwan itu?"

"Ikhwan adalam pengecut yang bersembunyi di belakang kalimah Allah dan Rasul!"

Saya paksakan senyuman kelat. Mujur saja masih tersembunyi dalam gelap malam blackout.

Friday, May 17, 2013

Di sisi Sungai

Bersunyian di sisi sungai. Klise bukan?

Sekurang-kurangnya ini tidak.

"...dia cuma perahsia. Dan ini hak setiap manusia."

Jalan kecil yang kian terhakis.



Semoga bisa kembali.

Monday, May 13, 2013

Pepe Dan Pepus


Bukan aku yang bagi nama mereka sebenarnya. Dan, bukan juga aku tuan mereka asalnya. 

Bulan April tahun 2011, Syawal kebetulan terlihat dua ekor anak kucing yang masih tertutup matanya sedang diseksa oleh budak-budak arab. Syawal cepat-cepat menyelamatkan mereka sebelum keadaan bertambah buruk. Rumah aku ketika itu punya halaman belakang, jadi Syawal menumpangkan keduanya di situ. Katanya, untuk sementara sehingga mereka sudah besar dan pandai berdikari.

Bermula detik itulah, aku mula terlibat, dan secara perlahan-lahan mula mencintai kucing.

 Pepus. Peneroka yang yakin diri.

Pepe. Manja dan 'merimaskan'.

 Jelas, siapa kakak dan adiknya.

Ketika masih kecil benar. Masa ni aku tak tahu susu tak baik untuk kucing.


Mulanya aku terlibat secara tak lansung, memberi mereka makan pada waktu-waktu tertentu saja. Lama kelamaan timbul rasa ingin lebih menjaga, dan menjadikan mereka teman rapat. Dari halaman belakang, aku mula benarkan mereka masuk ke rumah. Dari ruang tamu, hinggalah masuk ke dalam bilik, habis tunggang langgang segala barang mereka kerjakan.Waktu aku tidur, waktu itulah mereka terloncat-loncat, main nyorok-nyorok dan kejar-mengejar dalam selimut tebal aku.

Pepe dan Pepus sangat liar. Kuku memang tak pernah disimpan. Dan jangan haraplah boleh pegang atau mengangkat mereka lebih dari 10 saat. Barangkali mungkin kerana benih asal mereka dari kucing gelandangan. 

Ada perbezaan ketara di antara kucing gelandangan Mesir dan Malaysia. Kucing Mesir sangat terpisah dan terpencil dari dunia manusia. Mereka hanya berlegar-legar di sekitar tong sampah dan merebut makanan. Persaingan sangat ketat. Mereka liar, tidak pandai merayu dan bergeser-geser pada kaki manusia. Nampak kita datang dekat saja mereka sudah lari. 

Kawan aku pernah kata, betapa 'kejam' dan kerasnya orang Mesir dengan kucing hingga lansung terpisah 'hubungan' kedua-dua makhluk ini. Usahkan kucing, anjing di sini pun lintang pukang lari kalau ternampak manusia.   

 Antara gambar terakhir Pepe.Berbulan-bulan lamanya sebelum Pepe dapat menerima kehadiran Tamr di rumah.


Jodoh aku dan mereka tidak lama. Dalam bulan September, aku dan Syawal terpaksa ambil keputusan 'melepaskan' mereka. Pada ketika itu, aku sendiri tidak tertahan lagi dengan kerenah liar mereka. Sungguh, betul-betul sukar, apalagi dengan kehadiran Tamr yang sangat sukar dimengerti kedua-duanya.

Beberapa hari kemudian, Pepe kembali semula. Hanya seekor dia. Pepus tidak turut serta, barangkali memahami dirinya telah 'terbuang'.  Kami akhirnya terpaksa  menerima Pepe kembali. Beberapa siri masalah yang timbul dan berlanjutan, kali ini, dalam bulan November, Pepe kembali dilepaskan ke tempat yang lebih jauh.

Aku tidak tahu bagaimana nasibnya selepas itu.

Pertengahan tahun 2012, aku dapat tahu yang Pepus sudahpun mengandung dan melahirkan anak. Kawan aku beritahu, Pepus terkadang-kadang berkeliaran di kawasan rumahnya, malah sampai masuk ke dalam rumah. Beberapa kali aku cuba menjenguk Pepus, tapi tiada rezeki bertemunya.











Saturday, May 11, 2013

Hujan di Bulan Mei?

Kalau saja hujan selepas Jumaat tadi ditunda ke bulan depan - Hujan Bulan Juni - barangkali terasa istimewanya, bermenung di jendela menatap awan Damietta, sambil terlarut ke batin puisi SDD.

Thursday, May 9, 2013

Slow it Down!



Malam. Aku capai beberapa buah buku, masukkan ke dalam beg, keluar rumah, dan mula mengayuh basikal. Secara rawak aku memilih lagu dalam Pemain MP4, kebetulan ketika itulah aku terpasang lagu ini: Slow It Down.

Entah kenapa, lagu ini cepat menimbulkan suasana yang membara dan penuh daya hidup. Kayuhan aku mula melaju. Mood aku kini seperti seorang kembara pengayuh basikal yang hampir mencapai destinasi akhir. Setiap jalan yang aku redahi, setiap limpahan lampu neon yang menerang jingga, dan setiap angin malam yang menyapa, aku cepat merasakan kilau keindahan yang terang dan tak terhuraikan.

Kumula mengenali lagu ini ketika menonton siaran lansung Anugerah Ballon d'or bulan Januari lalu. Sebelum acara kemuncak pengumuman pemain terbaik tahun 2012, terdapat persembahan selingan dari penyanyi berasal Scotland ini. Sejak dari mula, ketika ia duduk bersilang kaki di atas kerusi tinggi sambil memetik gitar, segalanya tampak rancak dan lincah, juga penuh tenaga.

Kamera tertumpu kepada bintang-bintang bola. Tampak jelas wajah-wajah mereka berubah, dan  kekaguman mula menyilau dari mata mereka. Sampai saja part 'down, down, down', bingkai kamera mula bergerak laju dan rawak; menimbulkan kesan kemuncak dan tertinggi. Amy McDonald kini sesungguh hatinya mengeluarkan tenaga penghabisan untuk mengakhir persembahan hebat ini.

Bayangan Lionel Messi menggelecek bola dan menjaringkan gol-gol indah mula benderang dan bekerlipan dalam minda. Tiada apa lagi yang membatasi kepuasan aku. Dari khayalan bola, aku mula mencecah tujuan hidup yang tulen dan tinggi. Kayuhan aku kian melaju dan memuncak seiring kemuncaknya lagu yang mengispirasikan ini.

Sampai satu saat, secara tiba-tiba kurasakan kayuhan derasku tak lagi menambah kelajuan basikal. Semakin lama kurasa semakin perlahan. Aku lihat bawah.

Cis, rantai jatuh!

Wednesday, May 8, 2013

Aku Anak Malaysia!

Siapa yang tak kenal dengan lagu propaganda yang satu ini - Anak Kecil Main Api. Lagu-wajib-dengar ini akan terus dimain dan diulang-ulangkan dalam tiap-tiap kursus biro tatanegara sebelum mana-mana anak muda atau golongan penjawat awam dapat meningkat ke tahap seterusnya.

Bangsa Melayu ini istimewa sedikit. Mereka memang mudah tersentuh bila saja terdengar perkataan 'tanah' dan 'pijak' ini. Suara penyanyi yang garau dan tua ini pula semacam lekas menghantarkan ketakutan dan kegusaran yang lain. Mereka yang mendengar akan cepat terkhayalkan nasib anak Melayu mendatang yang akan merempat tak berumah dan merayau-rayau meminta sedekah. Sangat berkesan.


Maka, atas kesedaran cara fikir anak muda yang tak terpengaruh ini, lagu propaganda ini diberikan nafas muda yang lebih segar dan penuh daya positif. Setiap lirik dan diksi bukan lagi atas tujuan menimbulkan pesimisme yang kelam dan tak menarik itu. Hasil karya dari jiwa kemanusiaan lebih hidup dan
mengispirasikan. Berikan tepukan besar untuk 'Anak Malaysia Yang Berani!'

Saturday, April 27, 2013

"Aiyya, mengapa tulis macam susah?" Kah kah kah.




Pak Samad tidak pernah terlewat. Yang berbeza cumalah terang dan sembunyinya. Bacalah dalam mana-mana puisi Bapak pun — dalam dekad yang lama atau baru — tetap tersisip kritikan-kritikan atau saranan-saranan tertentu, yang membawa sentuhan-sentuhan kemanusiaan dan kedamaian, malah turut syahdu mengajak kita untuk lebih mengasihi bendera.

Namun, dengan kencangnya angin gusar ribut politik yang keras, segala-segalanya tidak lagi wajar untuk ditamsilkan. Dekad baru yang bergelora ini menuntut Bapak untuk lebih 'jelas' dan berterus-terang. Dan ternyata, inilah jalan terbaiknya.

Setelah lama bermuka-muka di atas kertas dan buku, Pak Samad kini ternyata bersedia untuk lebih tampil di mana-mana; baik di atas pentas ceramah, juga di tengah jalan raya, malah Bapak turut tidak 'malu' untuk cergas dan kelihatan muda di laman sosial dengan puisi-puisi semasa.

Kini, tanyalah mana-mana orang muda pun, siapa lagi yang masih tidak kenal akan 'orang tua' yang berjanggut putih dan tangkas berpuisi ini. Jika masih ada yang gusar dengan bangsa Melayunya, kalau sajalah kalian sedar betapa lebih besar dan gamamnya kegusaran Bapak akan hala tuju negara untuk generasi pelapisnya. 

Kerana beliau bukan hanya sekadar orang tua; Beliau adalah 'Orang Tua dari Sejarah'.


(Sedang leka menekun puisi 'Mengenangmu, Iqbal')

Thursday, April 25, 2013

Fanatik Orang Melayu






Terlalu sering mereka-mereka yang berhujah tentang 'survival Melayu' menyogokkan contoh Lee Kuan Yew dan Melayu Singapura. Kata mereka, anak Melayu dianak tiri, didiskriminasi, ditipu dan sebagainya.

Ingin saya lampirkan sedikit hasil tulisan Faisal Tehrani, ketika membincangkan tentang faktor tragedi 13 Mei dari filem Tanda Putera:

"Satu faktor yang jarang disentuh oleh dokumen sejarah ialah terbitnya fahaman Melayu yang keterlaluan. Sejak Ogos 1964, terdapat dokumen menunjukkan Singapura telah merungut meminta Kuala Lumpur melakukan sesuatu untuk membendung fanatisme ini. Menurut Nor Azlah Sham Rambely dan Teo Kok Seong (2012: 38), pelampau Melayu telah merancang untuk menghapuskan parti PAP di Singapura dengan cara ganas. Pelampau Melayu ini juga berhasrat mendirikan Greater Malaysia yang merangkumi Indonesia. Elemen kemelampauan ini diwakili oleh Singapore Malay Action Committee yang ditajai UMNO. Dalam masa yang sama, fahaman kemelampauan Melayu ini mendapat bantuan Perkhidmatan Perisik Indonesia. Ledakan perkauman di Singapura ini menjadi semakin keras pada 1 April 1965 di mana pada Julai 1966, pasukan ISD Singapura telah menyatakan untuk mengambil tindakan terhadap pelampau Melayu di Singapura yang antara lain adalah ahli UMNO".

Benarlah seperti kata Ustaz Hasrizal, "Perkauman apabila dihadapkan perkauman, bergaduh dan saling buruk sangka sepanjang masa."

Jadikan sejarah Singapura sebagai satu pencerahan, bukan untuk kita lebih takut dan teragak-agak, namun lebih yakin dan berani mencantas prejudisme dan fanatisme kemelayuan yang tidak menawarkan penyelesaian ini.

Sunday, April 21, 2013

Songkok, Melayu dan Lee Kuan Yew


Sungguh. Seronok sangat rasanya, dapat berbincang secara 'tak lansung' dengan penulis kegemaran saya ini, Isa Kamari. Seorang sasterawan yang tersohor dari tanah Singapura.

Saya mengenali beliau dengan novel 'Memeluk Gerhana', sebuah naskhah separa ringan sekaligus bernostalgia. Taka lama kemudian, secara tak sengaja  pula saya menemui kumpulan puisinya, 'Sumur Usia'. Dan, ini benar-benar, kalau tidak melampau saya katakan, mengubah sebahagian besar hidup saya. Kerana puisinya yang pendek-pendek dan bersimbolis, saya mula jatuh hati kepada dunia puisi. Saya tidak lagi memandang puisi hanya sebagai himpunan kata-kata yang berbunga dan berbaris-baris panjang.

Makanya selepas itu, saya cepat terghairah dan terkagum-kagum dengan puisi-puisi simbolis yang padat dengan imej yang memikat. Dari itu, saya kemudiannya mengenali Latiff Mohidin, Suhaimi Haji Muhamad dan SN Muhamad Haji Saleh puisinya pendek tapi lebih berintelektual malah, sedikit melebar ke tanah seberang seperti Chairil Anwar, Sitor Situmorang dan Sapardi Djoko Damono. Ok, saya bukan sekadar sengaja menyebut-nyebut  nama-nama ini; tentunya saya menelaah karya mereka sekali.

Selepas kekaguman ini, saya mula ingin lebih jauh menyelongkar setiap khazanah-khazanah Isa Kamari; saya akhirnya berkesempatan bertemu dengan 'Satu Bumi', 'Rawa', 'Kiswah', 'Menara', dan sebuah kumpulan cerpen berjudul 'Celupan'. Setakat ini, saya hanya selesai 'Satu Bumi' dan separuh dari 'Celupan'. Saya mengaku, saya memang pembaca yang perlahan dan perlukan suasana.

'Satu Bumi' sememangnya berani mengetengahkan tema-tema yang berat dan rumit. Sebut saja soal bangsa, politik, budaya, sejarah, ideologi, perjuangan, parti, malah turut terpercik sama romantisme, hubungan kekeluargaan, keturunan, juga ketegangan antara kaum Kesemua ini, saya sendiri pun barangkali, tak terdaya mengulas dan menyaringnya dengan cermat dan teratur. Semakin diselongkar, semakin sukar dicari jejak asalnya, malah semakin berselirat pula minda kecil ini. Saya bukanlah pemikir hebat; saya cuma penikmat seni.

Pagi tadi, (Sabtu:20 April) ketika membelek-belek Facebook, saya tertarik dengan satu keping foto keratan surat khabar yang dikongsi oleh Isa Kamari Gambar Lee Kuan Yew yang bersongkok dan berpakaian serba-serbi biasa sedang bersalam-salaman dengan sekumpulan rakyat biasa. Dibawahnya ada caption: 'Lee Kuan Yew sanggup melakukan apa saja demi menarik sokongan orang Melayu termasuk memakai songkok pada awal kariernya ketika bertemu penduduk Melayu di Kampung Tani, Singapura, pada 1965.'

Isa Kamari menulis ringkas di sisi: Masa bersongkok.

Kemudiannya, adalah beberapa komentar yang mempertanyakan nasib kaum Melayu di Singapura kini dan penyesalan kerana tertipu oleh songkok di atas kepala Lee Kuan Yew tersebut. Jujurnya, saya tidaklah terlalu kecewa sebenarnya, jika kita memang telahpun ditipu oleh perwatakan 'Melayu' Lee Kuan Yew ini. Saya cuma lebih terkesan atau ingin bertanya, sekuat manakah kekuatan bangsa Melayu itu sebenarnya untuk terus dipandang tinggi sehinggakan kaum-kaum lain terdesak untuk mencari pengiktirafan yang khusus dari bangsa Melayu?

Baik. Pada akhirnya, Lee Kuan Yew telahpun 'menipu' kita. Kaum Melayu telahpun terpinggir dan terhina di tanah Singapura. Nah, tidakkah kita tertanya-tanya sendiri bahawa ketinggian dan kepuncakan sesuatu bangsa itu bukanlah jalan penyelesaian yang sebenarnya untuk mencari kehormatan dan keadilan yang samarata untuk negara yang berbilang bangsa? Mungkinkah ada jalan yang lain sebenarnya, yang akan dapat menyatukan kita dan kaum-kaum lain, supaya nantinya yang terpandang hanyalah bangsa satu negara dan bukan lagi pada budaya,warna dan kulitnya?

Islam memang ada penawarnya, namun lihat saja keadaan semasa negara kita ini, timbul pula segolongan yang berfikiran janggal dan terpencil, cuba mengapung-apungkan pemikiran Melayu Sepakat Islam Berdaulat. Mereka berhujah, dengan kuasa Melayu yang kuat, Islam akan lebih 'terjamin' dan selamat. Mereka ini bukan main-main; cukup lengkap hujah agama serta dalil-dalil mereka; cukup hebat barisan-barisan ilmuan kontemporari dan profesional serta majlis syura yang gilang-terbilang.

Saya menulis ini bukanlah kerana saya ingin menawarkan penyelesaian atau jawapan-jawapan yang tertentu.Saya cuma ingin membawa diri ini untuk lebih tertanya-tanya: sejauh mana, atau sedaya manakah kita sebenarnya dapat memperjuang dan menjulangkan jati diri berasaskan kekuatan dan kedudukan sesuatu bangsa, dan, adakah itu jalan penyelesaiannya.

Isa Kamari, saya kira, sengaja mengapungkan 'polemik' ini, untuk kita lebih terkejut dan cuba menangani dan membandingnya dengan keadaan suasana kini. Saya fikir, cukup jelas 'pergulatan batin' yang dinyatakannya pada awal kata pengantar novel ini, ketika ia mempersoal-soal "apakah darah yang menentukan keturunan kita, atau budaya yang mencorakkannya?" Atau lebih lanjut, ketika ia bertanya-tanya "apakah ia (keturunan) penting untuk kesejahteraan hidup manusia, dan sebenar-benarnya, milik siapakah bumi ini?"

Kesemua 'pergulatan' ini, seperti tampaknya memercikkan tamsil bahawa kita ini tidaklah punya apa-apa pada bangsa, darah, dan keturunanannya Sekurang-kurangnya begitulah yang dapat saya fahami dari apa yang ingin diterjemahkan Isa Kamari. Saya cuba berkabur-kabur dengan prasangka atau sikap prejudis beliau — Tentunya tidak pernah kurang rasa hormat dan kagum saya kepadanya   Saya yakin, yang beliau inginkan adalah perbincangan dan penyaringan yang lebih jauh dan mendalam. Atau, barangkalilah sebenarnya, ada kelukaan dan keperitan tertentu, yang hanya dapat difahami dan dilihat oleh masyarakat Melayu Singapura saja?

Kita tinggalkan dahulu tanah Singapura dan masyarakat Melayunya. Saya percaya, untuk generasi baru dunia kini, negara Malaysia terutamanya, kita terlalu ingin melihat hancurnya tembok-tembok dan sempadan perkauman yang angkuh dan penuh keraguan ini. Malah, dengan hangat dan bahangnya suasana politik semasa, sudah terjelas di sana sini garis yang kian menipis di antara sesama Melayu, Cina dan India.

Di mana-manapun, di atas jalan raya ketika berdemo; di atas kerusi plastik ketika ceramah; juga di atas meja ketika rundingan, segala-galanya tampak tertuju dan terarah ke politik baru dan penuh damai. Di laman sosial, kecendurungan ini ternyata lebih indah dan mengharukan. Kita terkadang-kadang tersenyum dan menangis syahdu membaca komentar pelbagai bangsa  yang ternyata lebih ghairah ingin menjunjung nilai-nilai keadilan, kedamaian, keharmonian, dan kejujuran.

Di sinilah, saya percaya, sekurang-kurangnya ada suara-suara dan nilai-nilai kemanusiaan yang turut dikongsi oleh sesama manusia. Kemanusiaan ini, jelasnya, tidak lagi melihat keraguan dan ketakutan sesuatu bangsa; segala nilainya jauh melangkau dan melepasi songkok-keris-chiongsam-sari dan sebagainya. Kita tidak ingin melihat mana-mana pemimpin yang terdesak untuk memakai songkok atau 'mencemar duli' demi populariti dan undi. Kita sebenarnya ingin melihat sebuah bangsa negara yang lebih terhubung dan bersatu. Sehinggalah pada sesuatu generasi yang mendatang, mereka ternyata indah dan bangga, menyebut dan mengaku, 'Saya anak Malaysia'.

Antara Songkok, Melayu dan Lee Kuan Yew, bertanyalah saya kepada diri: siapakah, atau apakah sebenarnya yang lebih tinggi dan menyeluruhi?

Friday, April 19, 2013

Haru



Saya sering cair dan terharu dengan puisi ini. Penyampaiannya tegas dan beralun-alun. Iramanya sesuatu yang baru dan jarang-jarang; seperti resapan melodi padang pasir dan sekaligus tampak wajah keagamaannya. Bahasanya larik dan puitis, dengan diksi yang 'melekat' dan pekat. Segalanya terlihat sempurna dengan latar muzik klise Kitaro yang, cantiknya, mengalir bersama-sama pendeklamasian puisi ini.

Saya terharu. Dan cemburu.

Bukan saya tidak berusaha ke arah itu; menulis puisi dekoratif yang berbunga-bunga dan enak didendang. Cuma saya rasa tipikal puisi sebegini bukan untuk saya. Saya lebih menyukai gumpalan-gumpalan imej dan kabus-kabus simbolisme. Namun, kerana terlalu indah dan meresapnya, saya tetap jadi cemburu dengan kemampuan dan ketinggian penyair muda ini; penyair yang hampir sebaya saya. Atau tepatnya, setahun tua atas saya.

Saya sering berasa aneh sendiri, atau, terkadang-kadang meremang ketika membaca puisinya. Mana mungkin, seorang yang muda sebegini, tampak begitu veteren dan penuh matang dalam memilih dan menyusun setiap baris puisinya. Untuk memilih dan mengumpul setiap diksi kekata yang sepekat dan sepadu ini, malah penuh dengan nilai-nilai estetika, saya kira perlu pengalaman dan kematangan yang bertahun-tahun bahkan berterusan. Jadi, dengan mudah, atau secara melepas diri, saya menggelarkan ketinggian ia sebagai: Genius.

Saya mengenali ia secara kabur-kabur. Tidak pernah bertembungnya secara terus-terus. Barangkali, kami hanya sekadar berkongsi lingkungan persekitaran pendidikan atau kawan-kawan yang sama-sama kami kenal. Paling-paling hampir, kami pernah berbalas-balas pesanan dalam YM. Lama dulu ketika sebelum pilihan raya ke-12, ketika ia sedang bersiap-siap menyambung pelajaran ke Morocco.

Jika punya masa, singgalah ke blog peribadi beliau : http://inskripsiabdi.wordpress.com/
   

  

Tuesday, April 9, 2013

The Hurt Locker



Saya tidak selesa semasa menontonnya. Bukan kerana ia sebuah filem propaganda dan sebagainya. Saya mulanya bercadang menonton seorang diri kerana filem ini saya kira tidak untuk tipikal mereka yang cenderung blockbuster movie. Saya sudah selesai 'Zero Dark Thirty' filem yang terkemudian dari pengarah yang sama dan secara luarnya, saya dapat meneka seperti apakah cerita ini akan berjalan nanti.

Akhirnya, sorang member datang dan duduk bersama-sama saya. Saya tidak tahu samada dia benar-benar terghairah untuk menonton atau sekadar memaksa diri untuk tidak 'tewas' dengan cerita yang tak biasa ini. Selama 40 minit barangkali, hati saya gelisah sendiri. Saya tertanya-tanya apakah reaksinya; apakah tenungan dan senyapnya itu sebagai satu kesan puas hati; apakah cara duduknya dan tangan yang menongkat dagunya itu sebagai kesan ketakjuban dan ketertarikan yang sebenar-benar. Saya pada ketika itu seperti seorang 'pengarah' yang gelisah saat filemnya pertama kali dipertontonkan kepada umum.

Lebih 40 minit selepas itu, akhirnya member yang sorang ini mengalah dan angkat punggung. atau sebenarnya ada urusan lain yang lebih mustahak? Siapa tahu?

Terlepas dari semua ini, saya tetap mengagumi Kathryn Bigelow sebagai seorang pengarah wanita yang punya kesungguhan dan ketelitian yang luar biasa dalam usahanya merakamkan sebuah drama realiti perang secara yang sedekat-dekatnya. Paling-paling kurang, itulah sebenarnya yang dikehendakinya. Kerana secara teknikal dan prosudernya, masih banyak yang boleh dipersoalkan. Umpamanya, beberapa komentar dari mereka yang berpengalaman dalam unit pemusnah bom sendiri bertanya-tanya tentang 'kegilaan' watak utama menyahaktifkan bom-bom yang masih berdenyut. Tidak mungkin seorang ahli-bom mengambil risiko yang sedemikian beraninya kerana yang diutamakan adalah nyawa pasukannya sendiri. Supaya nantinya yang tidak pulang adalah cebisan-cebisan daging yang telah berkecai oleh letupan.

Sinopsisnya mudah: Seorang teknikal bom Amerika telah dihantar ke Iraq untuk tugasan-tugasan segera menyahaktifkan bom-bom yang dipasang oleh tentera gerila Iraq. Sarjan William James dan dua orang lagi rakannya berhadapan dengan beberapa misi yang gila dan setiap minit-minit yang berlalu boleh saja menjadi detik terakhir dalam hidup mereka.

Tidak ada antagonis yang khusus. Tidak ada klimaks yang tertentu. Setiap misi adalah sama penting dan gentingnya. Kita tidak diperlihatkan sesiapa atau latar-latar yang mendalangi siri-siri bom yang terpasang. Kita cuma dituntut untuk merasai nafas-nafas yang berat dan peluh-peluh yang lencun dari debaran-debaran proses mematikan bom itu sendiri. Proses ini digambarkan dengan perlahan, tegang dan panas. Panas itu kerana latar bandarnya yang berdebu-debu dan iklimnya pada ketika itu yang hangat dan membahang. Tidak ada latar muzik yang rancak dan berat. Cukup hanya dengan nafas, peluh dan iklim membahang atau sesekali debu-debu angin padang pasir yang menghantar sebuah rasa ketegangan yang diperlukan.  

Seperti yang saya tulis di awal-awal, saya kira ini bukanlah sebuah filem propaganda. Filem ini bukan seperti buatan-buatan Hollywood yang lain yang seperti biasa memenangkan Amerika. Pada permukaannya terlihat aksi-aksi heroik dan penyelamat tentera Amerika  bagi setiap peristiwa genting yang terjadi. Mereka tampak 'menang' dalam situasi apapun.

Namun, selepas lebih jauh hanyut ke tengah cerita, kita akan lekas mengesani apakah sebenarnya yang ingin dituangkan oleh Bigelow. Pertanyaan-pertanyaan yang meragukan mulai timbul dan mengembang-ngembang dalam  diri setiap karektar: Apakah mereka sebenar-benarnya berjaya? Sejauh manakah kesan kejayaan mereka sebelum ini? Apakah ini semua sebagai manifestasi semangat cinta mereka terhadap negara? Paling merunsingkan mereka sebenarnya, untuk apa mereka berjuang selama ini?

Sindiran-sindiran halus tersisip dalam adegan-adegan tertentu. Amerika yang sering dilihat gagah oleh kekuatan tentera dan perisikan mereka mulai tampak rapuh dan berlubang di sana sini. Beberapa siri atau situasi sulit yang terus-terusan dan tidak henti sedikit sebanyak menggoncang emosi dan kewarasan diri. Pada akhirnya, mereka terasa letih.

Mereka jadi kabur dan kelabu, dengan siapakah mereka berperang selama ini.

Bagi filem ini, segalanya sengaja dirakamkan secara dokumentari. Lebihnya, ia memiliki kesan emosi yang memukau. Dengan kamera yang bergoncang-goncang dan rapat ke wajah pelakon, setiap pancaran emosi terhidang secara senyap dan cerdik. Tidaklah emosi setepatnya - mungkin lebih kepada kesan psikologi.

Barangkali pilihan saya sedikit berbeza dengan umum yang memilih 'The Hurt Locker' sebagai filem terbaik Bigelow. Tentu saja kerana filem ini menang bergaya untuk Anugerah Acedamy Award yang lalu. Bagi saya, saya tetap memilih 'Zero Dark Thirty' lebih atas dari filem ini.

Apapun, itu tetap tidak mengurangi nilai saya untuk filem ini : Empat bintang secara keseluruhannya!



Thursday, April 4, 2013

A Separation


Dua kali tontonan saya perlukan untuk selesai ' A Separation'.

Bukan bermakna ia sebuah filem yang teruk; saya cuma merasakan ia suatu realisme yang 'berat' dan sulit untuk diresapi. Ini sering terjadi tiap kali saya menonton filem-filem dari Iran. Saya tiada masalah dengan 'Children of Heaven', namun sedikit sukar memesrai 'The Circle' dan 'Offside'. Namun filem-filem gelombang baru dari Iran sememangnya punya kesan yang memukau dalam menuangkan nilai-nilai kehidupan dan fungsi sosial secara yang realitas dan benar.

Terdapat beberapa kesalahan cara pandang dunia terhadap filem-filem Iran — Sekurang-kurangnya itulah yang dibicarakan sendiri oleh Asghar Farhadi , pengarah 'A Separation'. "Terdapat beberapa imej yang tidak benar tentang Iran. Saya tidak bermaksud negara saya lansung tidak punya masalah — tentu ada. Tetapi tipikal masalah yang kalian bayangkan bukannya seperti itu. Penonton barat mungkin bermula dengan beberapa prasangka mereka sendiri sebelum menontonnya. Bagi mereka, tentunya Iran sangat aneh dengan isu-isu yang rumit dan berlapis-lapis."

"Tapi saya fikir orang-orang seluruh dunia hampir kesemuanya mirip. Kesemua mereka memiliki kesulitan tersendiri. Masalahnya, adalah cara kita melihat orang-orang dari sesuatu negara melalui kacamata politik. Jika yang kita teliti adalah 'orangnya', secara terang kita akan kesani kesamaan antara kita." Demikian respon Asghar Farhadi yang turut mengagumi Ja'far Panahi dan Mohsen Makhmalbaf dari negaranya sendiri.

Perasaan saya bercampur-baur semasa menontonnya. Ada rasa marah dan kurang senang dengan tindakan — atau kebodohan dan keegoan — beberapa watak. Kalaulah mereka di depan saya, saya akan memekik mengarah-arah apa yang sepatutnya mereka lakukan. Ya. Kita diperhidangkan kebodohan dan keegoan. Namun lebih ke dalam, itulah kita — manusia — yang sebenarnya. Pengarah bijak menampakkan tabi'i sebenar kita yang jelek ini. Saya pernah merasakan ini ketika menonton 'Dancer In The Dark' dahulu. Tinggal lagi sejauh mana kemampuan kita merespon dan bereaksi secara rasional dengan pertimbangan seperlunya.

Dalam kebiasaan mana-mana cerita, kita telah 'ditentukan' oleh pengarah untuk mengikuti perkembangan sesuatu watak. Secara mudah, kita akan 'memilih' hero. Kita akan menilai dan menghayati setiap tindakan dan perilakunya dari awal hingga akhir cerita.

Ironinya, ' A Separation' melakukan sesuatu yang janggal. Saya sebagai penonton awam sudah tentu memihak protagonis yang 'difitnah' dan tersepit. Perkembangan demi perkembangan, pendedahan demi pendedahan, dan kesulitan demi kesulitan yang berlanjutan, secara bawah sedar, saya mula meragui pilihan saya. Ada beberapa sisi gelap yang mula tersingkap, kelihatan tidak wajar dan menghampakan. Jika yang namanya manusia, sudah tentu dalam kegentingan tertentu, mereka secara terdesak menjadi manusia pementing diri.

Secara perlahan, saya mula mengalih perhatian kepada beberapa watak yang 'tidak sepatutnya'. Pertembungan antara manusia kelas pertengahan dan kelas bawah mula memperlihatkan kesamaran dan kewajaran tindakan mereka. Sangat sukar menjadi waras dan penuh sedar dalam kekacauan yang serumit ini. Demikian kita tidak lagi punya kuasa memilih siapa yang paling benar dan paling wajar dalam filem ini.

Ada semacam perasaan yang rimas dan menyesakkan ketika menyudahkan cerita ini. Saya tidak tahu untuk mengatakan plotnya mudah atau sangat kompleks. Jujurnya, saya menjadi sangat terbeban dan berpinar-pinar dengan pelbagai masalah yang kian membengkak dan bertimbun-timbun, sepertinya saya bukan lagi sekadar pemerhati 'drama realisme' ini — saya kini menjadi 'tukang dengar' yang menjadi tempat watak-watak mengumpul dan menceritakan segala masalah.

Nah, jangan berharap anda dapat tenang dan terduduk syahdu sepanjang penceritaan 'A Separation'.

Empat bintang setengah untuk filem ini!










Tuesday, April 2, 2013

Cerkas Drama Melayu


Joni membuka laci meja. Matanya terpandang bekas simpanan cd lama. Joni renung lama-lama sebelum bercadang membawanya keluar. Tertulis di muka CD, 'Cerita Melayu Drama'.

Entah mana mulanya, Joni tiba-tiba tergerak untuk memasangnya di laptop. Juga entah bagaimana, dari dasar hatinya paling dalam, Joni semacam bertekad sunguh-sungguh untuk menyelesaikan paling kurang satu drama melayu dalam CD itu.

Padahal semua sedia tahu betapa tak sebulunya Joni dengan drama melayu. 'Persis tahi', katanya dulu.

CD pertama dimasukkan. Joni cuba menyalin ke folder lain. Dalam benaknya benar-benar ada tekad yang membara: Aku akan habiskan satu cerita, aku akan habiskan satu cerita. Biar setahi manapun cerita tu.

Demikian Joni mengukuhkan azam.

Belum sempat menyalin sepenuhnya file cerita, laptop Joni tiba-tiba jem. Ah, CD lama, dengus Joni. Joni membuang CD pertama dari laptop, memasukkannya kembali ke bekas simpanan, dan mengambil CD 'Cerita Melayu Drama' ke dua untuk dimainkan. Demikian tabahnya Joni.

Kali ini penyalinan sempurna dan berjalan lancar. Joni memilih dan membuka satu file cerita: Meniti Kasih. Joni mengemaskan duduknya. Dua biji bantal disandarkan ke belakang untuk kedudukan yang rehat dan selesa. Kedua-dua tanganya kemas memeluk lutut yang bersilang. Aku akan habiskan cerita ni, aku akan habiskan cerita ni. Joni benar-benar bersedia.

Pemain GOM mula menayangkan adegan sebuah motor besar di tengah-tengah jalan raya kota metroplitan di waktu malam. Cerita berjalan...

Joni mula diserang gelisah.


" Kenapa boleh luka macam ni? Daniel bergaduh ke?" Tan Sri entah berantah menegur anak mudanya yang sedang dirawat emaknya.

" Siapa yang ajar Daniel bergaduh ni, hah? Dalam keluarga papa tak ada orang nak jadi gangster"

"Jadi selama ni, Daniel bukan keluarga papa la kan." Anak muda itu memulakan pemberontakannya. " Because pa, setahu Daniel keluarga itu sentiasa bersama kan. Selama ni papa kat mana? Selama ni Daniel diam, bla bla bla.............. I cannot accept this anymore!"

Anak muda yang bernama Daniel terasa puas menghambur ketidakpuashatiannya dan terus berlari ke luar rumah. Tan Sri entah berantah mengurut-urut dadanya. Ia tiba-tiba diserang sakit jantung.

Celaka, skrip lama. Macam drama pentas sekolah menengah!

Joni sudah tak boleh duduk diam lagi. Tangannya terus bergerak serta merta menekan ikon pangkah. Joni membuka tag baru dalam tetingkap Mozilla dan kembali melayan Facebook.

Keadaan kembali seperti sediakala.


Monday, April 1, 2013

Quotes 2


"Saya memulakan penulisan dengan melebihkan pembacaan"

-Roslan Jomel

Friday, March 29, 2013

Cerkas Febuari 2011


'Manusia sering buta bila ia bahagia'

'Manusia yang bersyukur itulah manusia bahagia'

Kami senyap. Entah saling meresapi atau berkhayal-khayal sendiri.

Perbualan terhenti.


Wednesday, March 27, 2013

Quotes



"Better to write for yourself and have no public
than to write for the public and have no self"

-Cyril Connolly
Sasterawan Inggeris

Tuesday, March 26, 2013

Review 'Only Yesterday'


'Only Yesterday' adalah sesuatu yang biasa-biasa. Tidak ada masalah yang rumit; tidak ada plot yang berpusing-pusing; juga tidak ada magis yang aneh seperti filem-filem Studio Ghibli yang lain. (Kiki's Delivery Service, Spirited Away, Tales from Earthsea, juga Ponyo)

Dan, oleh perkara yang 'biasa-biasa' inilah, yang membuatkan aku menontonnya sambil mengelamun dan bernostalgia.

Sesuatu kenangan —lebih-lebih lagi di zaman kanak-kanak— tidak semestinya menggigit atau mencengkam; cukup dengan beberapa perlambangan yang tertentu, kita akan tersyahdu sendiri dengan situasi atau ransangan persekitaran yang tidak kita sangka-sangka mulanya.

Demikianlah Taeko, seorang gadis kota lewat 20-an yang bercadang untuk mencari 'sesuatu' yang berbeza dan bermatlamat. Semacam 'letih' dan terlalu selesa dengan kehidupannya di bandar Tokyo, Taeko berkira-kira untuk menghabiskan 10 hari cutinya di sebuah desa pedalaman dengan menaiki keretapi.

Dan, sejak mula perjalanannya dalam keretapi, hinggalah tempoh dia menetap sambil membantu keluarga petani, —dia benar-benar ingin merasai dan menghayati sendiri kehidupan petani-petani desa— Taeko semacam dikacaui malah terganggu dengan kenangan-kenangan zaman kecilnya.

Taeko yang kecil seakan-akan berjalan dan melintas di hadapannya. Ia terlihat sendiri pancaran-pancaran kenangan atau situasi yang sudah lama ia lupa, atau sengaja lupa; keinginan Taeko untuk 'pulang' ke desa kerana cemburu dengan rakan-rakannya yang menghabiskan masa cuti di kampung (sedang ia gadis kota sepenuhnya)  ;gosip-gosip cinta atau cinta monyetnya yang malu-malu; pengalaman kali pertama keluarganya memakan nenas —adegan yang sederhana ini digambarkan dengan sangat teliti dan mengesankan —; kenangan kali pertama dan terakhir ditampar oleh ayahnya yang pendiam dan tegas; juga kisah ragu-ragu seorang budak kecil yang selekeh dan selalu membulinya (ada bahasa isyaratnya tersendiri) — kesemua ini seolah-olah menuntut Taeko yang dewasa untuk lebih merenung dan mencari sendiri apakah sesuatu yang masih dianggap tidak 'selesai' dari zaman kanak-kanaknya.

Dan anehnya, kesemua persoalan dan tuntutan ini baru saja tumbuh dan terbangun dari kesan perjalanan fizikal dan spritualnya dari kota menuju ke desa.

Latar dan pelukisan lanskap filem ini, seperti filem-filem terbitan Studio Ghibli yang lain, sangat teliti dan memukau. Perincian dan pendetailan yang benar dan tampak realitas, semacam memberikan satu rasa nostalgia yang mendalam; aku sepertinya sangat akrab, atau pernah merasai lansung kesan berada di tempat tersebut. Paling jelas dan menjalar, tentunya kesan dari 'Whisper Of The Heart'.

Berdurasi hampir 2 jam, agak aneh untuk tidak terkesan dengan panjangnya filem ini. Ya, filem ini berjalan perlahan dan 'membosankan', namun bagi sesiapa yang mejumpai mood dan magisnya, maka akan merasai sendiri kesan realisme yang 'benar' dan 'biasa-biasa' ini.

26 Mac 2013