Thursday, March 27, 2014

Review "Cyclo": Filem ke-2 dari Tran Anh Hung

"Cyclo" sangat merimaskan. Memperkisahkan tentang kesusahan nasib seorang remaja belasan tahun di tengah-tengah kota Ho Chi Minh, segala yang terpapar adalah tentang kekotoran, kemiskinan, dan dunia gelap bawah tanah.

Tran Anh hung tidak lagi bersederhana dan damai seperti yang sempat ia tawarkan dalam "The Scent of Green Papaya". Tangkapannya masih senyap, berlambang dan membisu, tetapi bukanlah hal-hal indah sebegini yang mengesankan. Ia menukar kesenyapan ini menjadi suatu kecamukan warna - didominasi oleh warna biru - yang sukar ditafsir dan menjijikkan. Kita masih dapat mengikuti mood yang perlahan ini, tetapi akan muncul beberapa pertanyaan yang menggilakan dan mengganggu kewarasan semasa. Kita terkacau di dalam kesenyapan.

Saya membenci filem-filem yang mengambil latar bandar besar yang sibuk, sesak, dan apalagi jika yang mengambil sisi gelap. Kehidupan di bandar memangnya tidak pernah menyenangkan. Terlalu ramai yang sakit jiwanya, baik yang miskin atau pun kaya. Filem ini tidak terkecuali. Saya membencinya sama seperti saya membenci kesesakan dan kegilaaan kota Cairo. Baru-baru ini sempat menziarahi Cairo, saya semakin sedar kota besar bukan lagi lapangan permainan yang menyenangkan. Semakin saya terasa kalah oleh kelajuan dan kepadatan manusia.

Sama seperti 'kekalahan' yang saya alami usai menyudahi Cyclo.

No comments: