Wednesday, July 2, 2014

Wings of Desire (1987)



Setelah lama menjadi pemerhati senyap di wilayah Berlin, Damiel, sang malaikat, mula terjatuh hati dan berkeinginan untuk menjadi manusia. Ia ingin menyentuh dan merasai secawan kopi. Ia ingin mengenali dan membezakan warna-warna yang pelbagai. Juga merasakan sensasi kesakitan dan darah pekat yang mengalir keluar dari tubuh. Malah, lebih jauh, Damiel mula menyintai kejutan dan ketidakpastian.

Damiel nyata sudah jemu dengan keabadian. Dan doa.

Keghairahan dan keinginan ini masih belum cukup ketertarikannya, jika tidak kerana dorongan Damiel yang paling besar, iaitulah dirinya sendiri, seorang malaikat, yang sudah terjatuh hati dengan seorang wanita biasa - tapi penuh dengan monolog yang misteri - ahli akrobat di sebuah sarkis kecil yang kurang mendapat sambutan.

Setiap manusia adalah cerminan dari lintasan-lintasan perbualan dan perdebatan sengit di dalam wilayah minda mereka sendiri. Seorang ibu yang sedang gering bersalin; si suami yang meragui kesetiaan isteri; pemuda yang nekad untuk terjun bangunan dan membunuh diri; atau boleh saja seorang tua yang menganggap dirinya sebagai sang pencerita, yang begitu yakin, jika ceritanya didedahkan nanti, lansung akan membawa pesan-pesan keamanan ke seluruh dunia ketika perang dingin sedang hangat berlansung.

Kesemua lintasan dan bisikan ini memanglah didengar dan direnungi para malaikat di daerah Berlin. Namun, semakin didengar suara-suara yang pelbagai, semakin para malaikat ini tidak mengerti tabi'e seorang manusia - manusia Berlin khususnya ketika pergeseran idelogi antara blog kapitalis dan sosialis sedang rancak membahang. Maka adalah di antara mereka yang cuba menjadi pemujuk, pembisik pesan-pesan kebaikan, ada yang ingin menyelamatkan si pemuda yang cuba membunuh diri, juga si Damiel sendiri, yang risau melihat gadis idamannya yang sedang bergayut tinggi di buaian sarkis tanpa bantuan alat keselamatan.

Membuat kita lebih bertanya-tanya, apakah manusia memangnya sejenis makhluk yang begitu absurd dan kompleks? Atau, malaikat-malaikat itu sendiri, yang sedemikian "sederhana" dan "mudah" cara pandang alamnya - tentu sekali kerana kesucian dan kepatuhan mereka - hingga begitu sulit - malah terkadang murung - demi memahami seorang manusia?

Jika tidak, masakan seorang Damiel begitu teruja dan terdesak untuk merasakan hidup sebagai seorang manusia biasa?



No comments: