Wednesday, February 5, 2014

Istilah "Konspirasi" Dan Masyarakat Melayu.

Ruang awam kita terlalu sering disuapkan dengan perkataan perkataan konspirasi misalnya seperti "sandiwara", "dalang", "belang tembelang", hipokrasi", "agenda", dan lain lain.

Sehinggalah istilah istilah sebegini sudah menjadi sebati dan mendaging dalam bahasa harian dan pemikiran masyarakat. Ini boleh kita lihat di setiap ruang akhbar awam atau akhbar parti, media tv, berita, majalah, tulisan tulisan kolumnis, ceramah ceramah politikus, gerakan organisasi islamis dan sebagainya.

Sedang bagi aku, penggunaan ungkapan ungkapan negatif yang berunsur konpsirasi ini perlulah "dijimatkan", supaya ia tidak sekadar lagu lagu harian penyedap fantasi minda; bahkan ini juga perlu menjadi satu ungkapan "terlarang" yang hanya boleh digunakan pada situasi situasi atau kes kes yang sangat sulit saja.

Sayangnya istilah istilah ini sekarang, akibat dari kekerapan retorik ucapan yang ingin dilihat muluk muluk, dilihat seperti sudah hilang roh, simbol makna, dan perlambangan sebenarnya.

Seperti juga isu perkataan kalimah Allah yang sedang direbut rebut itu. Yang oleh kerana terlalu kerap penyebutannya dalam suasana permusuhan dan kebencian, hingga hilanglah segala kekudusan dan ketinggian lafaz kalimah itu.

Entah berapa kerap lafaz "Allah" diulang sebut seperti angin lalu tanpa ada sebarang rasa yang sakral dan penuh rindu lagi malu.

Aku sendiri, seperti tidak berselera lagi untuk menyebut lafaz "Allah" yang begitu. Kini aku semacam selesa untuk menggantikannya dengan menyebut ungkapan " Yang Tertinggi Yang Tidak Terungkap Namanya". Ataupun juga diubah ubah mengikut latar emosi, rohani dan persekitaran.

Ini barangkali mirip pegangan orang orang Yahudi yang mempercayai keagungan Tuhan yang sakral itu, hinggakan tidak mungkin dapat menyebut nama yang maha suci dalam keadaan jasad dan spiritual mereka yang kotor dan berdebu.

Jika biasa dengan novel Harry Potter, J.K Rowling juga biasanya akan menawarkan rasa ketakutan, kengerian dan kegelapan watak jahat Voldermot dengan orang orang biasa hanya sekadar berani menyebut " Dia Yang Anda Tahu Siapa" atau "Dia Yang Tidak Boleh Disebut Namanya" kerana begitu traumanya mereka dengan nama Voldermot yang sangat menghantui sejarah hitam dunia sihir. Dan, hanya Harry Poter saja yang berani menyebut lafaz nama Voldermot yang sebenar.

Lihat, bagaimana, betapa "keterbatasan" bahasa itu mampu menciptakan suasana  sakral, penuh tinggi dan di luar segala pengalaman dan perjalanan spritual yang dapat kita bayangi.

No comments: