Friday, February 7, 2014

Pejalan Malam

Saya menggelarkan diri kami sebagai "Pejalan Malam."

Kebiasaannya, ketika waktu menghampiri subuh, kami akan keluar dari rumah dan berjalan kaki ke kedai. Tujuan mudahnya memang untuk membeli barang keperluan. Namun proses bersembang-sembang "kosong" ditengah perjalanan itulah yang sering kami beratkan.

Kebetulan malam ini, hujan sedikit renyai. Perbualan kami mula menyentuh soal hujan itu sendiri. Dia yang tak tertahan lagi, lansung mengungkapkan keghairahannya: betapa dia sangat asyik dan tenang dengan cuaca yang mendung atau hujan yang perlahan.

Di Malaysia dulu, katanya, dia membenci hujan. Banyak perkara yang tergendala dan terpaksa ditangguh jika cuaca tak baik. Jam berdetik — dia kini seorang perantau. Di Mesir, tentu sekali hujannya jarang-jarang. Kebiasaan hujan hanya turun tiga hari di awal musim sejuk, tiga hari di tengah, dan tiga di penghujung sebelum musim berganti.

Oleh turunnya hujan yang sesekali itu, tidaklah aneh jika ia jadi menghargai setiap deraian hujan yang gugur dari langit musim dingin.

Baru-baru ini, pulang bercuti di Malaysia, langsung ia jatuh cinta yang sebenar-benar pada suasana hujan. Di belakang dapur, ketika hujan mula turun, ia mendepakan kedua-dua tangannya ke langit; merasai dan menghayati setiap butir-butir hujan. Air yang sekejap-sekejap memercik liar dan  mengalir ke bawah lengan kini menjalar aneh, perlahan-lahan merayap dan meresap masuk ke dalam kulitnya. Dan, dalam dingin yang khas, mengalir indah ke kedalaman tasik hati. Ia memejamkan matanya dalam cara yang asyik, dan mula merasakan...merasakan...

Di sini dia tersangkak sekejap. Saya cuba membantu: "Ketenangan?"

" Emm.. Ya. Seperti itulah. Tapi...tapi, "lebih" lagi." Dia sedikit tidak puas dengan perkataan itu.

*********

Kami sampai di kedai. Sambil memilih-milih barang, perbualan terus berlansung.

" Setiap orang memang ada suasana khasnya sendiri," aku mencadangkan.

" Aku misalnya, lebih senang dengan senja."

Dia sedikit kurang setuju. Katanya, senja hanyalah kemurungan. Suatu simbol pengakhiran yang lesu dan menghiba.

3 comments:

kaukabun said...

Haha senja. Waktu semua makhluk kembali ke rumah, burung pulang ke sarang, kambing di halau masuk ke kandang, manusia pun sibuk balik dari kerja pelbagai; mengerjakan sembahyang. Jadi, senja tak patut dilihat sebagai satu kemurungan semata-mata, tapi kembalinya manusia khususnya dari kesibukan duniawi kepada-Nya.

Kerangka sufi! Hahaha.

K.muhami said...

Hehe jangan lupa, senja juga permulaan kepada kehidupan malam yang penuh gelap dan dosa.

kaukabun said...

Hahaha!

Bagi saya ia adalah permulaan kepada malam yang bersyahdu, sepi yang indah, bersendirian dengan Tuhan!