Wednesday, February 19, 2014

"When Everything Gets Answered, Its Fake"

Saya suka membuat penyimpulan bahawa alam yang kita diami ini tidak pernah menawarkan "jawaban".

Melabuhkan diri kita ke dalam sesuatu yang kita anggap sebagai "jawaban", kita merelakan diri menjadi reaksioner, defensif, dan konservatif. Kita akan disibukkan dengan penafian demi penafian yang tidak perlu, malah sampai ke tahap yang sudah tidak jelas lagi akar sesebuah permasalahan.

Kita juga mudah tersentak dan tersinggung dengan "jawaban" yang lain yang bertentangan dengan "jawaban" yang kita imani. Kerana di mata kita, mereka sudah terlepas dari realiti yang kita duduki. Kita melihat mereka sedang asyik mengunjungi daerah-daerah terlarang yang sering kita cuba jauhi. Kita mewujudkan kegusaran yang tidak berasas. Kita mencipta ketakbahagiaan dalam diri, hanya kerana keliru dan ragu-ragu melihat yang lain sedang tertawa-tawa dalam wilayah larangan tersebut.

Menemukan "jawaban", juga bererti kita mendekatkan diri dengan kematian. Kematian hanya menjemput mereka yang sudah selesai dalam hidupnya. Kematian itu boleh saja perpisahan roh yang nyata, atau kesengajaan kita mengkuburkan kenuranian yang sebenarnya ingin sering bertanya-tanya. Berada di puncak yang statik, dan berlama-lama dengan sebuah "jawaban", kita mematikan fitrah manusia sebagai peneroka yang mendaki dan menuruni kehidupan.

Oleh itu, berhati-hatilah, dan bertanya-tanyalah kepada diri, apakah jika kita benar-benar yakin sudah menemukan "jawaban" yang mampu memberi penyelesaian dalam perjalanan kehidupan. Kerana kejumudan, ketakbahagiaan, malah kematian sedang asyik mengintai-ngintai.

No comments: