Wednesday, March 11, 2015

Nota Ringkas Upstream Color.

Kita adalah The Sampler. Kita adalah penonton, pengamat, pemerhati, dan penikmat tragedi di dalam cerita (filem). Kita dahagakan tragedi guna untuk memuaskan kehendak dalaman kita. Kerana tragedi sering mengilham kita sebagai penikmat cerita. Tapi sejauh mana kehendak ini akan membawa kita? Adakah kita mendapat kepuasan nyata? Apakah tragedi-tragedi ini mampu membawa kita mengubah diri dan pandangan alam kita terhadap kehidupan?

Kerana itu Upstream Color cuba memberontak. Karekter-karektar fiksyen ini sudah letih diperhati dan diamati. Mereka sedar yang kita masih tidak akan kemana-mana jika sekadar berterusan menjadi penonton. Mereka ingin memecah kitaran ini. Mereka ingin menghancurkan kebiasaan kita yang sia-sia ini (menurut mereka).

Apakah pemberontakan watak-watak fiksyen ini berjaya? Apakah mereka mampu menampar kita dan meyedarkan kita dari lamunan yang panjang? Entah. Mungkin akhirnya kita akan terus bingung dan terus tidak sedar dan tidak paham. Mungkin kita akan tetap terus dahaga, dahaga, dan dahaga akan cerita dan tragedi.

Upstream Color boleh dikatakan sebagai suatu pengalaman sinema yang baru. Seraya membuat kita terkeliru oleh pembaharuan ini; kita tidak jelas samada ianya menyenangkan atau sebenarnya lebih merunsingkan. Upstream Color memangnya sebuah pengalaman fiksi yang akan terus menghantui penontonnya. Membuat kita rasa berdosa dan tidak bahagia kerana ketidakmampuan kita memahami.

Tambahan:


Salah satu dosa terbesar Upstream Color adalah kerana ia hampir-hampir tak menawarkan cerita pada tontonan pertama. Filem ini dengan disengajakan  mungkin satu bentuk keangkuhan? untuk ditonton kali ke dua. Bagi aku, pengelakan cerita ini suatu yang tidak sihat dan kurang mesra. Ya, filem yang baik sentiasa menawarkan sisi baru (imej, simbol, detil-detil kecil atau rahsia yang tersembunyi) pada tontonan seterusnya, tapi Upstream Color memperlakukan sebaliknya, iaitu dengan menawarkan rasa sinematik yang berkilau-kilauan dahulu dan kemudiannya baru datang cerita.

Tapi aku akui, untuk tontonan kedua, filem ini sebenarnya sangat-sangat luar biasa. Menghilangkan lansung rasa benci dan resah disebabkan kekaburan yang disengajakan demi mengusik intelek penonton. (Sebab tu aku rasa filem ini angkuh. Seolah-olah macam satu cabaran kepada khalayak: mari kita tengok sehebat mana kau, kalau dapat mencerna filem aku atau tidak). Dan sejujurnya, aku terpaksa menggagahkan diri dan meruntuhkan keegoan untuk menontonnya sekali lagi. Tiada yang lebih hina selain menyerah diri sepenuhnya ke tangan pengkarya.

Dan pada rasa peribadi aku, teknik fast edit shot ini juga sesuatu yang sangat aku benci. Lebih kurang dengan The Tree of Life oleh Terrence Malick. Aku sentiasa peminat Terrence Malick, tapi gaya shot yang ini memang bukan citarasa peribadi. Temponya terlalu cepat, tebal (sebab terlalu banyak syot untuk satu scene) dan terlalu dekat dengan subjek. Posisi subjek meliar-liar, tidak statik. Malah latarnya juga tidak stabil, cepat berubah-ubah, lantas menyekat lansung binaan imaginasi kita terhadap naratif dan sekaligus mengakibatkan penceritaan yang kabur.

No comments: