Monday, March 2, 2015

Terbaik dari Langit

Terbaik dari Langit, kata orang, agak longgar. Cerita tak dijalin kemas. Disebabkan aku baca review sebegini sebelum aku tonton TDL, maka rasa ini yang aku bawa sepanjang tontonan. Dan ini sangat seksa, sebab aku juga seorang yang sentimental dengan tipe filem melayu yang, biasa diucap dengan klise macam dialog dalam filem ini, "different".

Dan, dengan perasaan pertentangan yang sangat mengelirukan, aku jadi kabur nak menilai TDL secara adil. Memangnya TDL macam roller-coster; ada momen turun-naik, naratif longgar, terlalu melebihkan teknik sinematografi dan mengabaikan "cerita". Sama seperti Kil, Nik Amir Mustapha dengan TDL-nya masih membuat kita rasa kekosongan dan kehilangan. Senang cakap, cerita tak kuat, kurang mengesankan. Sama seperti 'filem dalam filem' ini yang kabur dan tak didedah penuh. Ini amat disayangkan, kerana teknik 'karya dalam karya' jika dibikin dengan jelas, akan memberi dimensi yang lebih luas dan terang ( atau mungkin penjelasan yang sengaja ingin lebih memusingkan jika dalam tone yang gelap). 

Namun tetap ada hal-hal yang indah dari filem ini. Jenakanya segar. Dialognya menangkap dan berciri tempatan, tidaklah nampak baku dan haiper. Juga ada banyak quote-quote menarik yang boleh dipegang.

Dari role kredit akhir cerita, aku syak karya ini hasil buah idea ramai orang. Terlalu ramai yang masuk campur dalam memberi idea sehingga ia hilang titik asal, hilang sentuhan peribadi. Sebuah karya seni jarang dibikin secara kolektif. Karya seni, walaupun dengan tujuan 'untuk masyarakat', mesti datang dari keperibadian pengkaryanya sendiri. 

Walaubagaimanapun, aku tetap optimis dengan kuasa filem ini dalam menyedarkan ramai orang tentang mutu sinema. Mungkin kutuk filem melayu sudah jadi mainstream sekarang ni, maka bila muncul filem yang 'different', orang jadi cepat sentimental. Muncul la komen-komen yang filem ini berat, lain dari yang lain, kalau tak dapat tangkap itu tanda otak slow, otak Razak Moheiden, otak Ahmad Idham, etc. Walaupun mungkin nampak angkuh, tapi, biasalah bila kita berada di tingkat pemula. Bagusnya, kesedaran apresiasi seni itu mula timbul dengan filem ini. Sebab, filem ini tidaklah berat pun. Memang tujuan bikinan dia murni untuk mencapai khalayak awam seramai yang mungkin. Ia masih merai nilai komersial tempatan. Dan ia juga bermaksud mengkritik kebodohan yang biasa dalam sinema kita. Memang inilah pun orang awam yang kritis (baca:di tingkat pemula) mahukan. 

Meski betapa agung pun kuasa sinema dari pengkarya luar negara yang kita  sanjung, pada akhirnya, kita tetap sayang sinema tempatan. Kita cepat sentimental, sebab ianya sebahagian darah daging kita. Ada rasa 'the sense of belonging' yang kuat. Memang begitulah tabie manusia berjalan sentiasa dekat dengan keasabiahan.



No comments: