Friday, April 10, 2015

I Saw The Devil

"I Saw The Devil" sudah terlambat untuk menjadi filem kegemaran aku. Kalau aku tidak biasa dengan filem-filem thriller dari Korea, maka tak ada sebab untuk aku tak jatuh cinta dengannya. Tapi aku dah letih dengan kejar-kejar, bunuh-bunuh dan balas dendam sebegini. Ia tak lagi baru. Dan aku tak berminat lagi nak memahami kekejaman seorang manusia pembunuh.

Kalaupun ada yang menarik, iaitulah kejayaan filem ini menimbulkan kekejaman dan kesadisan kita (penonton) yang mendasar dan tersembunyi. Kita benci akan manusia psycopath yang sadis, suka menyeksa dan membunuh mangsanya tanpa perasaan hingga kita tak sanggup melihatnya. Tapi dalam masa yang sama, kita membenarkan watak utama memperlaku pembunuh bersiri ini selumat-lumatnya. Kita suka dan seronok melihat ia dibelasah, dikerat, dan dihentam di kepala sampai hancur. Kita berharap agar si pembunuh yang hampir lunyai kepalanya itu masih bernafas supaya ia terus disiksa oleh watak utama. Kita tidak mahu si pembunuh ini menyerah diri kepada polis sebelum sempat ditangkap hero. Bila kepala si pembunuh dipenggal, kita merasa terlalu lega dan puas hati.

Nah, dalam tidak sedar, kita juga punya sifat sadis dan kejam seperti seorang pembunuh. Begitulah perangkap syaitan. Syaitan yang sanggup mengorbankan dirinya agar ia berjaya menimbulkan kejahatan kita yang tersembunyi. Syaitan yang menghinggap dalam diri pembunuh, dan telah berpindah ke dalam diri kita (penonton) selepas ia mati.

Persoalan yang timbul, adakah kita sedar tentang kejahatan ini? Adakah kita nampak syaitan yang sedang bersorak-sorakan dalam diri kita sendiri?


No comments: