Thursday, April 4, 2013

A Separation


Dua kali tontonan saya perlukan untuk selesai ' A Separation'.

Bukan bermakna ia sebuah filem yang teruk; saya cuma merasakan ia suatu realisme yang 'berat' dan sulit untuk diresapi. Ini sering terjadi tiap kali saya menonton filem-filem dari Iran. Saya tiada masalah dengan 'Children of Heaven', namun sedikit sukar memesrai 'The Circle' dan 'Offside'. Namun filem-filem gelombang baru dari Iran sememangnya punya kesan yang memukau dalam menuangkan nilai-nilai kehidupan dan fungsi sosial secara yang realitas dan benar.

Terdapat beberapa kesalahan cara pandang dunia terhadap filem-filem Iran — Sekurang-kurangnya itulah yang dibicarakan sendiri oleh Asghar Farhadi , pengarah 'A Separation'. "Terdapat beberapa imej yang tidak benar tentang Iran. Saya tidak bermaksud negara saya lansung tidak punya masalah — tentu ada. Tetapi tipikal masalah yang kalian bayangkan bukannya seperti itu. Penonton barat mungkin bermula dengan beberapa prasangka mereka sendiri sebelum menontonnya. Bagi mereka, tentunya Iran sangat aneh dengan isu-isu yang rumit dan berlapis-lapis."

"Tapi saya fikir orang-orang seluruh dunia hampir kesemuanya mirip. Kesemua mereka memiliki kesulitan tersendiri. Masalahnya, adalah cara kita melihat orang-orang dari sesuatu negara melalui kacamata politik. Jika yang kita teliti adalah 'orangnya', secara terang kita akan kesani kesamaan antara kita." Demikian respon Asghar Farhadi yang turut mengagumi Ja'far Panahi dan Mohsen Makhmalbaf dari negaranya sendiri.

Perasaan saya bercampur-baur semasa menontonnya. Ada rasa marah dan kurang senang dengan tindakan — atau kebodohan dan keegoan — beberapa watak. Kalaulah mereka di depan saya, saya akan memekik mengarah-arah apa yang sepatutnya mereka lakukan. Ya. Kita diperhidangkan kebodohan dan keegoan. Namun lebih ke dalam, itulah kita — manusia — yang sebenarnya. Pengarah bijak menampakkan tabi'i sebenar kita yang jelek ini. Saya pernah merasakan ini ketika menonton 'Dancer In The Dark' dahulu. Tinggal lagi sejauh mana kemampuan kita merespon dan bereaksi secara rasional dengan pertimbangan seperlunya.

Dalam kebiasaan mana-mana cerita, kita telah 'ditentukan' oleh pengarah untuk mengikuti perkembangan sesuatu watak. Secara mudah, kita akan 'memilih' hero. Kita akan menilai dan menghayati setiap tindakan dan perilakunya dari awal hingga akhir cerita.

Ironinya, ' A Separation' melakukan sesuatu yang janggal. Saya sebagai penonton awam sudah tentu memihak protagonis yang 'difitnah' dan tersepit. Perkembangan demi perkembangan, pendedahan demi pendedahan, dan kesulitan demi kesulitan yang berlanjutan, secara bawah sedar, saya mula meragui pilihan saya. Ada beberapa sisi gelap yang mula tersingkap, kelihatan tidak wajar dan menghampakan. Jika yang namanya manusia, sudah tentu dalam kegentingan tertentu, mereka secara terdesak menjadi manusia pementing diri.

Secara perlahan, saya mula mengalih perhatian kepada beberapa watak yang 'tidak sepatutnya'. Pertembungan antara manusia kelas pertengahan dan kelas bawah mula memperlihatkan kesamaran dan kewajaran tindakan mereka. Sangat sukar menjadi waras dan penuh sedar dalam kekacauan yang serumit ini. Demikian kita tidak lagi punya kuasa memilih siapa yang paling benar dan paling wajar dalam filem ini.

Ada semacam perasaan yang rimas dan menyesakkan ketika menyudahkan cerita ini. Saya tidak tahu untuk mengatakan plotnya mudah atau sangat kompleks. Jujurnya, saya menjadi sangat terbeban dan berpinar-pinar dengan pelbagai masalah yang kian membengkak dan bertimbun-timbun, sepertinya saya bukan lagi sekadar pemerhati 'drama realisme' ini — saya kini menjadi 'tukang dengar' yang menjadi tempat watak-watak mengumpul dan menceritakan segala masalah.

Nah, jangan berharap anda dapat tenang dan terduduk syahdu sepanjang penceritaan 'A Separation'.

Empat bintang setengah untuk filem ini!










No comments: