Tuesday, April 9, 2013

The Hurt Locker



Saya tidak selesa semasa menontonnya. Bukan kerana ia sebuah filem propaganda dan sebagainya. Saya mulanya bercadang menonton seorang diri kerana filem ini saya kira tidak untuk tipikal mereka yang cenderung blockbuster movie. Saya sudah selesai 'Zero Dark Thirty' filem yang terkemudian dari pengarah yang sama dan secara luarnya, saya dapat meneka seperti apakah cerita ini akan berjalan nanti.

Akhirnya, sorang member datang dan duduk bersama-sama saya. Saya tidak tahu samada dia benar-benar terghairah untuk menonton atau sekadar memaksa diri untuk tidak 'tewas' dengan cerita yang tak biasa ini. Selama 40 minit barangkali, hati saya gelisah sendiri. Saya tertanya-tanya apakah reaksinya; apakah tenungan dan senyapnya itu sebagai satu kesan puas hati; apakah cara duduknya dan tangan yang menongkat dagunya itu sebagai kesan ketakjuban dan ketertarikan yang sebenar-benar. Saya pada ketika itu seperti seorang 'pengarah' yang gelisah saat filemnya pertama kali dipertontonkan kepada umum.

Lebih 40 minit selepas itu, akhirnya member yang sorang ini mengalah dan angkat punggung. atau sebenarnya ada urusan lain yang lebih mustahak? Siapa tahu?

Terlepas dari semua ini, saya tetap mengagumi Kathryn Bigelow sebagai seorang pengarah wanita yang punya kesungguhan dan ketelitian yang luar biasa dalam usahanya merakamkan sebuah drama realiti perang secara yang sedekat-dekatnya. Paling-paling kurang, itulah sebenarnya yang dikehendakinya. Kerana secara teknikal dan prosudernya, masih banyak yang boleh dipersoalkan. Umpamanya, beberapa komentar dari mereka yang berpengalaman dalam unit pemusnah bom sendiri bertanya-tanya tentang 'kegilaan' watak utama menyahaktifkan bom-bom yang masih berdenyut. Tidak mungkin seorang ahli-bom mengambil risiko yang sedemikian beraninya kerana yang diutamakan adalah nyawa pasukannya sendiri. Supaya nantinya yang tidak pulang adalah cebisan-cebisan daging yang telah berkecai oleh letupan.

Sinopsisnya mudah: Seorang teknikal bom Amerika telah dihantar ke Iraq untuk tugasan-tugasan segera menyahaktifkan bom-bom yang dipasang oleh tentera gerila Iraq. Sarjan William James dan dua orang lagi rakannya berhadapan dengan beberapa misi yang gila dan setiap minit-minit yang berlalu boleh saja menjadi detik terakhir dalam hidup mereka.

Tidak ada antagonis yang khusus. Tidak ada klimaks yang tertentu. Setiap misi adalah sama penting dan gentingnya. Kita tidak diperlihatkan sesiapa atau latar-latar yang mendalangi siri-siri bom yang terpasang. Kita cuma dituntut untuk merasai nafas-nafas yang berat dan peluh-peluh yang lencun dari debaran-debaran proses mematikan bom itu sendiri. Proses ini digambarkan dengan perlahan, tegang dan panas. Panas itu kerana latar bandarnya yang berdebu-debu dan iklimnya pada ketika itu yang hangat dan membahang. Tidak ada latar muzik yang rancak dan berat. Cukup hanya dengan nafas, peluh dan iklim membahang atau sesekali debu-debu angin padang pasir yang menghantar sebuah rasa ketegangan yang diperlukan.  

Seperti yang saya tulis di awal-awal, saya kira ini bukanlah sebuah filem propaganda. Filem ini bukan seperti buatan-buatan Hollywood yang lain yang seperti biasa memenangkan Amerika. Pada permukaannya terlihat aksi-aksi heroik dan penyelamat tentera Amerika  bagi setiap peristiwa genting yang terjadi. Mereka tampak 'menang' dalam situasi apapun.

Namun, selepas lebih jauh hanyut ke tengah cerita, kita akan lekas mengesani apakah sebenarnya yang ingin dituangkan oleh Bigelow. Pertanyaan-pertanyaan yang meragukan mulai timbul dan mengembang-ngembang dalam  diri setiap karektar: Apakah mereka sebenar-benarnya berjaya? Sejauh manakah kesan kejayaan mereka sebelum ini? Apakah ini semua sebagai manifestasi semangat cinta mereka terhadap negara? Paling merunsingkan mereka sebenarnya, untuk apa mereka berjuang selama ini?

Sindiran-sindiran halus tersisip dalam adegan-adegan tertentu. Amerika yang sering dilihat gagah oleh kekuatan tentera dan perisikan mereka mulai tampak rapuh dan berlubang di sana sini. Beberapa siri atau situasi sulit yang terus-terusan dan tidak henti sedikit sebanyak menggoncang emosi dan kewarasan diri. Pada akhirnya, mereka terasa letih.

Mereka jadi kabur dan kelabu, dengan siapakah mereka berperang selama ini.

Bagi filem ini, segalanya sengaja dirakamkan secara dokumentari. Lebihnya, ia memiliki kesan emosi yang memukau. Dengan kamera yang bergoncang-goncang dan rapat ke wajah pelakon, setiap pancaran emosi terhidang secara senyap dan cerdik. Tidaklah emosi setepatnya - mungkin lebih kepada kesan psikologi.

Barangkali pilihan saya sedikit berbeza dengan umum yang memilih 'The Hurt Locker' sebagai filem terbaik Bigelow. Tentu saja kerana filem ini menang bergaya untuk Anugerah Acedamy Award yang lalu. Bagi saya, saya tetap memilih 'Zero Dark Thirty' lebih atas dari filem ini.

Apapun, itu tetap tidak mengurangi nilai saya untuk filem ini : Empat bintang secara keseluruhannya!



No comments: