Sunday, April 21, 2013

Songkok, Melayu dan Lee Kuan Yew


Sungguh. Seronok sangat rasanya, dapat berbincang secara 'tak lansung' dengan penulis kegemaran saya ini, Isa Kamari. Seorang sasterawan yang tersohor dari tanah Singapura.

Saya mengenali beliau dengan novel 'Memeluk Gerhana', sebuah naskhah separa ringan sekaligus bernostalgia. Taka lama kemudian, secara tak sengaja  pula saya menemui kumpulan puisinya, 'Sumur Usia'. Dan, ini benar-benar, kalau tidak melampau saya katakan, mengubah sebahagian besar hidup saya. Kerana puisinya yang pendek-pendek dan bersimbolis, saya mula jatuh hati kepada dunia puisi. Saya tidak lagi memandang puisi hanya sebagai himpunan kata-kata yang berbunga dan berbaris-baris panjang.

Makanya selepas itu, saya cepat terghairah dan terkagum-kagum dengan puisi-puisi simbolis yang padat dengan imej yang memikat. Dari itu, saya kemudiannya mengenali Latiff Mohidin, Suhaimi Haji Muhamad dan SN Muhamad Haji Saleh puisinya pendek tapi lebih berintelektual malah, sedikit melebar ke tanah seberang seperti Chairil Anwar, Sitor Situmorang dan Sapardi Djoko Damono. Ok, saya bukan sekadar sengaja menyebut-nyebut  nama-nama ini; tentunya saya menelaah karya mereka sekali.

Selepas kekaguman ini, saya mula ingin lebih jauh menyelongkar setiap khazanah-khazanah Isa Kamari; saya akhirnya berkesempatan bertemu dengan 'Satu Bumi', 'Rawa', 'Kiswah', 'Menara', dan sebuah kumpulan cerpen berjudul 'Celupan'. Setakat ini, saya hanya selesai 'Satu Bumi' dan separuh dari 'Celupan'. Saya mengaku, saya memang pembaca yang perlahan dan perlukan suasana.

'Satu Bumi' sememangnya berani mengetengahkan tema-tema yang berat dan rumit. Sebut saja soal bangsa, politik, budaya, sejarah, ideologi, perjuangan, parti, malah turut terpercik sama romantisme, hubungan kekeluargaan, keturunan, juga ketegangan antara kaum Kesemua ini, saya sendiri pun barangkali, tak terdaya mengulas dan menyaringnya dengan cermat dan teratur. Semakin diselongkar, semakin sukar dicari jejak asalnya, malah semakin berselirat pula minda kecil ini. Saya bukanlah pemikir hebat; saya cuma penikmat seni.

Pagi tadi, (Sabtu:20 April) ketika membelek-belek Facebook, saya tertarik dengan satu keping foto keratan surat khabar yang dikongsi oleh Isa Kamari Gambar Lee Kuan Yew yang bersongkok dan berpakaian serba-serbi biasa sedang bersalam-salaman dengan sekumpulan rakyat biasa. Dibawahnya ada caption: 'Lee Kuan Yew sanggup melakukan apa saja demi menarik sokongan orang Melayu termasuk memakai songkok pada awal kariernya ketika bertemu penduduk Melayu di Kampung Tani, Singapura, pada 1965.'

Isa Kamari menulis ringkas di sisi: Masa bersongkok.

Kemudiannya, adalah beberapa komentar yang mempertanyakan nasib kaum Melayu di Singapura kini dan penyesalan kerana tertipu oleh songkok di atas kepala Lee Kuan Yew tersebut. Jujurnya, saya tidaklah terlalu kecewa sebenarnya, jika kita memang telahpun ditipu oleh perwatakan 'Melayu' Lee Kuan Yew ini. Saya cuma lebih terkesan atau ingin bertanya, sekuat manakah kekuatan bangsa Melayu itu sebenarnya untuk terus dipandang tinggi sehinggakan kaum-kaum lain terdesak untuk mencari pengiktirafan yang khusus dari bangsa Melayu?

Baik. Pada akhirnya, Lee Kuan Yew telahpun 'menipu' kita. Kaum Melayu telahpun terpinggir dan terhina di tanah Singapura. Nah, tidakkah kita tertanya-tanya sendiri bahawa ketinggian dan kepuncakan sesuatu bangsa itu bukanlah jalan penyelesaian yang sebenarnya untuk mencari kehormatan dan keadilan yang samarata untuk negara yang berbilang bangsa? Mungkinkah ada jalan yang lain sebenarnya, yang akan dapat menyatukan kita dan kaum-kaum lain, supaya nantinya yang terpandang hanyalah bangsa satu negara dan bukan lagi pada budaya,warna dan kulitnya?

Islam memang ada penawarnya, namun lihat saja keadaan semasa negara kita ini, timbul pula segolongan yang berfikiran janggal dan terpencil, cuba mengapung-apungkan pemikiran Melayu Sepakat Islam Berdaulat. Mereka berhujah, dengan kuasa Melayu yang kuat, Islam akan lebih 'terjamin' dan selamat. Mereka ini bukan main-main; cukup lengkap hujah agama serta dalil-dalil mereka; cukup hebat barisan-barisan ilmuan kontemporari dan profesional serta majlis syura yang gilang-terbilang.

Saya menulis ini bukanlah kerana saya ingin menawarkan penyelesaian atau jawapan-jawapan yang tertentu.Saya cuma ingin membawa diri ini untuk lebih tertanya-tanya: sejauh mana, atau sedaya manakah kita sebenarnya dapat memperjuang dan menjulangkan jati diri berasaskan kekuatan dan kedudukan sesuatu bangsa, dan, adakah itu jalan penyelesaiannya.

Isa Kamari, saya kira, sengaja mengapungkan 'polemik' ini, untuk kita lebih terkejut dan cuba menangani dan membandingnya dengan keadaan suasana kini. Saya fikir, cukup jelas 'pergulatan batin' yang dinyatakannya pada awal kata pengantar novel ini, ketika ia mempersoal-soal "apakah darah yang menentukan keturunan kita, atau budaya yang mencorakkannya?" Atau lebih lanjut, ketika ia bertanya-tanya "apakah ia (keturunan) penting untuk kesejahteraan hidup manusia, dan sebenar-benarnya, milik siapakah bumi ini?"

Kesemua 'pergulatan' ini, seperti tampaknya memercikkan tamsil bahawa kita ini tidaklah punya apa-apa pada bangsa, darah, dan keturunanannya Sekurang-kurangnya begitulah yang dapat saya fahami dari apa yang ingin diterjemahkan Isa Kamari. Saya cuba berkabur-kabur dengan prasangka atau sikap prejudis beliau — Tentunya tidak pernah kurang rasa hormat dan kagum saya kepadanya   Saya yakin, yang beliau inginkan adalah perbincangan dan penyaringan yang lebih jauh dan mendalam. Atau, barangkalilah sebenarnya, ada kelukaan dan keperitan tertentu, yang hanya dapat difahami dan dilihat oleh masyarakat Melayu Singapura saja?

Kita tinggalkan dahulu tanah Singapura dan masyarakat Melayunya. Saya percaya, untuk generasi baru dunia kini, negara Malaysia terutamanya, kita terlalu ingin melihat hancurnya tembok-tembok dan sempadan perkauman yang angkuh dan penuh keraguan ini. Malah, dengan hangat dan bahangnya suasana politik semasa, sudah terjelas di sana sini garis yang kian menipis di antara sesama Melayu, Cina dan India.

Di mana-manapun, di atas jalan raya ketika berdemo; di atas kerusi plastik ketika ceramah; juga di atas meja ketika rundingan, segala-galanya tampak tertuju dan terarah ke politik baru dan penuh damai. Di laman sosial, kecendurungan ini ternyata lebih indah dan mengharukan. Kita terkadang-kadang tersenyum dan menangis syahdu membaca komentar pelbagai bangsa  yang ternyata lebih ghairah ingin menjunjung nilai-nilai keadilan, kedamaian, keharmonian, dan kejujuran.

Di sinilah, saya percaya, sekurang-kurangnya ada suara-suara dan nilai-nilai kemanusiaan yang turut dikongsi oleh sesama manusia. Kemanusiaan ini, jelasnya, tidak lagi melihat keraguan dan ketakutan sesuatu bangsa; segala nilainya jauh melangkau dan melepasi songkok-keris-chiongsam-sari dan sebagainya. Kita tidak ingin melihat mana-mana pemimpin yang terdesak untuk memakai songkok atau 'mencemar duli' demi populariti dan undi. Kita sebenarnya ingin melihat sebuah bangsa negara yang lebih terhubung dan bersatu. Sehinggalah pada sesuatu generasi yang mendatang, mereka ternyata indah dan bangga, menyebut dan mengaku, 'Saya anak Malaysia'.

Antara Songkok, Melayu dan Lee Kuan Yew, bertanyalah saya kepada diri: siapakah, atau apakah sebenarnya yang lebih tinggi dan menyeluruhi?

2 comments:

helang timur said...

alamak! genius gila perbincangan. jeles!

teruskan sharing knowledge. :D

*ahh tetiba tertarik!

K.muhami said...

Wow dah jadi helang timur sekarang