Sunday, January 5, 2014

Isu Benz Dan Respon Awam.

Ada sedikit kecewa melihat individu yang mengedit video Benz Ali. Amat jelas tujuannya, bukan untuk mengemuka pandangan, tapi mengajak orang lain sama-sama menyerang dan melabel Benz Ali.

Pandangan peribadi saya, perbincangan Benz Ali tidak releven untuk tontonan ruang awam. Bukan kerana idenya yang tak boleh pakai, tetapi tujuan berbincang dan berhujah itu tidak selaras dengan tahap masyarakat kita yang masih ortodoks dan tak selesa dicabar keislamannya.

Dilihat secara yang lain, Benz Ali sebenarnya adalah sebuah cermin kepada islamis untuk lebih jujur melihat diri mereka sendiri —bahawa terkadang-kadang pantulan wajah keislaman mereka tidak sesempurna yang mereka sangka.

Benz juga terkenal dengan langgam-langgam yang bombastik dan menekan, dan sesiapa yang tergesa menilai, pasti menganggap ia sebagai sosok yang provokasi. Tetapi, saya percaya, rakan-rakan diskusinya, malah Benz sendiri, tidak semudah itu membelakangkan dogma yang sudah diterima. Benz secara aneh, melontarkan persoalan yang dikira tabu dan sengaja disembunyikan bawah lengan jubah. Maka bagi yang cermat menyaring, mereka akan menilai dan menghujahkannya dengan disiplin-disiplin yang lebih baru dan semasa. Bukankah dengan begitu daya intelektual lebih bernafas?


Saya mencadangkan supaya usah terkejut dengan hal yang sebegini. Sesiapa berhak melontarkan ide, dan kita sendiri tidak perlu menolak atau menerimanya terus. Bahkan, keanehan ide ini baru sekadar 'basa-basi' kepada pelbagai lagi perdebatan dan perbincangan teologi di seluruh dunia yang lebih kompleks. Sudah lama wacana intelek islam tersekat dari kesemasaan dan realiti dunia yang bersifat dengan kepelbagaian identiti. Islamis jangan lagi melihat dirinya sebagai sosok-agamawan yang eksklusif. Dengan sikap berlapang dada, tonjolkan kepada masyarakat moden dunia bahawa Islam sebagai pilihan jalan hidup yang universal dan membahagiakan.


Letaknya Islam bukanlah sekadar pada serinya wajah yang kuat bersujud
tetapi juga sebagai perlumbaan sesama agama dan manusia lain untuk mengerjakan kebaikan dan keharmonian kepada dunia.

No comments: